NILAI – Budaya pengamalan ‘peer-to-peer intervention‘ sepatutnya sudah boleh menjadi budaya kerja bagi para pekerja di Malaysia. ‘Peer-to-peer intervention‘ merupakan kaedah komunikasi sopan yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak berkaitan tindakan yang selamat atau bukan.
Ketua Perhubungan BERJASA Negeri Sembilan, Mohd Fauzi Bashir memberikan respn sedemikian bagi mengulas lanjut mengenai insiden kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak berumur 5 tahun yang maut akibat ditinggalkan di dalam kereta secara tidak sengaja oleh ibunya di Hospital Shah Alam. Mohd Fauzi yang juga merupakan pengamal profesional bidang keselamatan dan kesihatan sedar bahawa kealpaan ibu bapa yang menyumbang kepada isu ini berpunca daripada bebanan tugas yang berat di tempat kerja.
Oleh hal yang demikian, beliau mencadangkan agar lebih banyak kempen yang boleh dijalankan oleh mana-mana kementerian terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau lihat banyak lagi kaedah atau cara untuk memastikan tragedi ini tidak berulang lagi.
“Antara kaedah yang saya lihat boleh dibuat adalah perlu dibuatnya pengumuman bagi memberi peringatan kepada mana-mana pekerja yang mungkin tertinggal sesuatu terutamanya melibatkan soal keselamatan. Hal ini penting kerana pekerja yang dibebani dengan kerja yang padat dan berasa lesu mungkin terlupa sehingga kurang cakna dengan apa yang berada di sekelilingnya”.
“Alangkah baiknya jika dibuat di tempat-tempat yang ramai orang seperti di hospital. Mungkin ada jam yang tertentu dibuat pengumuman kepada pekerja untuk sentiasa cakna dengan isu keselamatan diri seperti anak-anak yang khuatir ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta”.
“Masa yang diambil boleh dibuat selama 30 saat sahaja untuk membolehkan para pekerja ini fikir sejenak untuk cakna tentang keberadaan anak mereka”, ujar beliau.
Kaedah ‘peer-to-peer intervention‘ boleh diaplikasikan dalam kalangan pekerja mana-mana sektor pekerjaan boleh dibuat melalui teguran secara sopan antara rakan sekerja. Teguran itu boleh dibuat dengan menegur rakan sekerja sama ada hadir ke tempat kerja secara berseorangan atau membawa anak mereka sekali.