Hampir 1,000 Orang Berhimpun Di istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Lebih 1,000 orang hadir Himpunan Selamatkan Syariah dan sertai solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman, di sini, pagi tadi.

Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu bagi membantah tindakan dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Orang ramai dilihat mula berkumpul di perkarangan Tuanku Mizan Zainal Abidin Masjid sejak jam 7 pagi lagi sebelum mereka bergerak ke perkarangan Istana Kehakiman.

Gema takbir ‘Allahuakbar’ dan ‘Selamatkan Negara’ juga turut kedengaran dalam perhimpunan itu.

Perhimpunan aman itu dianjurkan bagi membantah petisyen seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mereka mahu mengisytiharkan peruntukan-peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dan Timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan turut perhimpunan dan solat hajat itu.

Turut hadir beberapa pemimpin utama PN antaranya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Turut kelihatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ketika ditemui pemberita, Tuan Ibrahim berkata, perhimpunan kali ini bukan himpunan pertama, sebaliknya jika ada ancaman kepada perundangan Islam ia akan diteruskan oleh umat Islam negara.

“Apa yang berlaku hari ini adalah satu usaha kumpulan liberal untuk menggugat kestabilan dan perundangan Islam.

“Munajat kita kepada pihak peguam dan hakim supaya mereka membuat keputusan yang betul dan Islam akan terus dimartabatkan dalam negara,” katanya.

Dalam ucapan pada perhimpunan itu, Takiyuddin pula berkata, beliau teringat akan peristiwa lebih 50 tahun lalu apabila ribuan rakyat Tanah Melayu ke Singapura untuk membantah keputusan mahkamah yang memutuskan Natrah dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya.

“Ratusan ribu rakyat Tanah Melayu turun ke Singapura membuat bantahan namun bezanya (perhimpunan mempertahankan syariah) kali ini kita tidak dihalang oleh pihak keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang syariah di setiap negeri perlu dipertahankan oleh setiap umat Islam di negara ini kerana cabaran kepada enakmen itu bukan kali pertama terjadi.

“Di Selangor, kita juga ada kes membabitkan Iki Putra yang sebelum itu didakwa di Mahkamah Syariah pada 2019 atas kesalahan meliwat. Dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995.

“Hanya satu peruntukan dicabar ketika itu tetapi kali ini (dalam kes Nik Elin Zurina) sebanyak 20 peruntukan dicabarnya. Oleh demikian, kita sebagai umat Islam di negara ini perlu mempertahankan undang-undang syariah kerana ini tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan, setiap enakmen syariah di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Dalam perkembangan itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, berkata umat Islam perlu bangkit dalam perjuangan mempertahankan kesucian agama Islam khususnya berkaitan undang-undang syariah.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ayuh Bersama Noktahkan Tindakan Jahat Musuh Islam

Next Post

Jihad perundangan Syariah Masih Panjang

Related Posts