Pendedahan J-KOM mengenai Langkah Dubai yang kononnya dirancang oleh beberapa ahli pimpinan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai dakwaan bodoh dan kosong. Pendedahan yang dikatakan bermula daripada Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop ini tidak disertakan dengan bukti yang kukuh yang akhirnya memakan diri bagi pihak kerajaan sendiri sahaja.
J-KOM yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sepatutnya memainkan peranan penting sebagai medium komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat. Namun Kerajaan Madani telah menggunakan J-KOM sebagai badan jabatan penerangan dalam parti politik. Ini secara jelas menunjukkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam jabatan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Datuk Dr Puad Mohd Zarkashi turut berkongsi nada yang sama dengan melihat satu kerugian untuk kerajaan terus mendanai jabatan kerajaan seperti J-KOM yang langsung tidak memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan. Kerajaan harus sedar bahawa J-KOM itu dibiayai oleh duit rakyat yang membayar cukai. Maka sepatutnya J-KOM membawa suara kerajaan secara umumnya untuk kebaikan kerajaan seperti menerangkan dasar-dasar kerajaan sebagai pemakluman kepada rakyat bukannya untuk menyerang pembangkang.
Seeloknya kerajaan bubarkan sahaja J-KOM ini kerana daripada awal pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga kini ia langsung tidak menunjukkan pencapaian yang cemerlang. Jika kerajaan masih berkeras masih memerlukan J-KOM untuk menjadi lidah kerajaan kepada rakyat, lakukanlah rombakan demi menjaga imej kerajaan.