Filem Anwar: The Untold Story kian mendapat perhatian daripada rakyat yang sentiasa mengulas filem ini di media sosial. Namun, subjek ulasan mereka bukannya tertumpu kepada kualiti filem itu namun lebih kepada ‘usikan’ ataupun ‘troll’ sahaja.
Ada pihak menyatakan kisah penceritaan filem ini tidak langsung menggambarkan babak ‘untold’ seperti yang terpapar di tajuk. Mereka lihat ia lebih kepada filem propaganda yang ingin mengangkat susuk tubuh seorang figura.
Sejujurnya, saya tidak tertarik untuk mengulas babak penceritaan di dalam filem itu hatta kisah ‘troll’ yang dibuat terhadap filem tersebut namun saya ingin membangkitkan persoalan adakah wujudnya campur tangan daripada kerajaan sehingga mengeluarkan dana kerajaan untuk mempromosikan filem ini?
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai jemputan yang diterima oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6 SMK Putrajaya Presint 5(1) daripada pejabat Kementerian Menteri Pendidikan untuk menonton filem ini bersama Yang Berhormat Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan.
Bukan itu sahaja malahan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengadakan Tayangan Amal Filem Anwar, The Untold Story bertempat di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada Sabtu ini.
Saya ingin mempersoalkan adakah jemputan ini menggunakan dana kerajaan dengan usaha untuk mempromosikannya kepada pihak umum? Sudah tidak laku filem ini sehingga perlu dibuat tayangan amal melibatkan agensi kerajaan?
Kerajaan sekarang masih lagi dibuai mimpi dan syok sendiri sehingga lupa ekonomi negara masih belum berada dalam keadaan baik dan Ringgit masih tidak kukuh seperti yang dilaungkan oleh mereka ketika menjadi pembangkang.
Penjelasan secara terperinci perlu dibuat kerana tidak sepatutnya jika benar dana kerajaan digunakan untuk mempromosikan filem ini sedangkan sudah banyak subsidi yang dipotong oleh kerajaan.
Pena
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA dan parti BERJASA.