Dalam video terbarunya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membanggakan pencapaian Kerajaan MADANI selama lebih dua tahun mentadbir. Beliau mendakwa kerajaan telah merangka pelbagai dasar dan inisiatif untuk memacu ekonomi negara, termasuk pengumuman pembentukan Special Financial Zone (SFZ) di Forest City, Johor sebagai sebahagian daripada usaha menarik pelaburan asing dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri tersebut.
Namun, rakyat masih tertanya-tanya, bolehkah SFZ ini benar-benar berjaya, atau ia sekadar satu lagi projek gimik yang akan gagal seperti Forest City sebelum ini?
Forest City yang dahulunya dipromosikan sebagai ‘Bandar Pintar Bertaraf Dunia’ kini menjadi bandar hantu dengan majoriti unit kediaman kosong, nilai hartanah yang jatuh mendadak, dan kurangnya pelabur yang benar-benar berminat. Sebelum ini, kerajaan mendakwa projek itu akan membawa masuk pelaburan besar dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, tetapi akhirnya ia menjadi simbol kegagalan perancangan ekonomi kerajaan.
Kini, kerajaan menggunakan strategi baharu dengan mengumumkan Forest City sebagai SFZ, yang dikatakan akan menawarkan insentif cukai khas, pemudahan visa untuk pekerja asing, serta ekosistem perniagaan yang lebih kompetitif. Namun, persoalannya – adakah SFZ ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tempatan atau sekadar satu lagi kegagalan yang membebankan ekonomi negara?
Forest City Gagal, SFZ Jadi Harapan Baharu atau Projek Gajah Putih?
Jika dilihat pada kertas cadangan, SFZ ini dikatakan akan merancakkan ekonomi Johor dengan menarik pelaburan asing, menawarkan insentif cukai, serta membangunkan infrastruktur bagi merangsang sektor perkhidmatan dan kewangan.
Namun, Forest City juga pernah menjanjikan perkara yang sama. Malah, retorik yang digunakan kerajaan dalam mempromosikan SFZ ini tidak jauh berbeza dengan janji-janji kosong yang diberikan ketika melancarkan Forest City dahulu. Apa jaminan kali ini ia tidak akan gagal seperti sebelum ini?
Hal ini menimbulkan kebimbangan dan menjadi bahaya kerana membiarkan pelaburan asing menguasai ekonomi negara tanpa kawalan yang ketat. Dalam kes Forest City, majoriti unit hartanah dibeli oleh pelabur asing dan akhirnya tidak memberi impak positif kepada rakyat Malaysia. Sekiranya SFZ diuruskan dengan cara yang sama, kita akan melihat situasi yang serupa – di mana pelabur luar mendapat manfaat, manakala rakyat tempatan terus terpinggir.
Jaminan Kepada Rakyat, Bukan Retorik Politik!
Kerajaan harus lebih teliti sebelum mengulangi kesilapan yang sama. Forest City yang gagal tidak boleh sekadar dijenamakan semula sebagai SFZ tanpa memastikan dasar ekonomi yang lebih telus dan mengutamakan kepentingan rakyat tempatan.
Malaysia tidak boleh selalunya bergantung kepada pelaburan asing tanpa strategi yang jelas untuk memastikan manfaat sebenar dirasai oleh rakyat. Kerajaan perlu belajar daripada kegagalan Forest City dan memastikan SFZ bukan sekadar percubaan lain yang akhirnya hanya menguntungkan syarikat asing.
Selain itu, kerajaan harus telus dalam memastikan SFZ ini tidak dieksploitasi oleh kapitalis besar yang hanya mahu mengaut keuntungan tanpa membawa sebarang nilai tambah kepada ekonomi tempatan. Jika tidak, SFZ ini hanya akan menjadi satu lagi gimik politik untuk menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan MADANI. Pada saat ini adakah kerajaan mempunyai polisi lengkap dan mekanisme terbaik bagi memastikan pelaburan asing ini tidak menganggu-gugat kedaulatan dan maruah negara? Bimbang negara terpaksa tunduk kepada ‘orang luar’ kerana telah terikat dengan bermacam-macam perjanjian.
Rakyat Perlu Jawapan, Bukan Sekadar Harapan Kosong!
Selepas lebih dua tahun memerintah, Kerajaan MADANI masih gagal menunjukkan keberkesanan dasar ekonomi yang benar-benar membantu rakyat. Jika Forest City dahulu dijual sebagai ‘projek impian’ tetapi akhirnya menjadi ‘mimpi ngeri’, apa jaminan SFZ ini tidak akan menerima nasib yang sama?
Adalah lebih baik bagi kerajaan untuk mengutamakan kepentingan rakyat sebelum melancarkan lebih banyak projek mega yang akhirnya hanya menjadi beban kepada negara. Jika kerajaan serius mahu memperbaiki ekonomi, mereka harus memastikan bahawa pelaburan yang masuk benar-benar membawa pulangan kepada rakyat dan bukannya sekadar menguntungkan kapitalis asing.
Jika Forest City sudah menjadi bukti kegagalan perancangan ekonomi kerajaan, rakyat berhak untuk bertanya – SFZ ini bakal menjadi kejayaan atau sekadar satu lagi retorik indah yang akan berakhir dengan kegagalan?