Melalui ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Penutup Konvensyen Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan mengatakan mana-mana pihak yang membantah cadangan kerajaan dalam Akta Pembaharuan Bandar ini sengaja membiarkan masyarakat Melayu di bandar hidup dalam keadaan susah dan miskin.
Menurutnya lagi, hasrat pembaharuan bandar ini akan memberi kehidupan yang lebih baik kerana bangunan lama akan dibaharukan, bangunan yang sempit akan diluaskan, dan yang terbengkalai akan dimajukan. Perkara ini seiring dengan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bahawa sebanyak 613 kampung baru cina dibawah tanggungjawab kementeriannya untuk dibangunkan dan dimajukan.
Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama orang Melayu di kampung melayu tradisi dihalau dan diabaikan atas alasan pembangunan. Kalau benar untuk membangunkan masyarakat Melayu bandar, kenapa mereka membantah dan tersangat marah? Adakah perkara ini juga akan berulang kembali sebagaimana apa yang terjadi pada orang Melayu di Pulau Pinang, mereka dihalau dan dipinggirkan?
Antara perkara yang digubal didalam akta ini adalah menentukan ambang persetujuan daripada 100% persetujuan penduduk kepada 80% sehingga 90%. Kadar penurunan ambang persetujuan ini akan mengancam hak milik hartanah rakyat dan seolah-olah menghalau rakyat yang berpendapatan rendah tinggal di bandar kerana mereka tidak akan mampu memilikinya kembali kerana harga rumah baru tidak mampu milik.
Apakah manfaat yang pemilik asal hartanah tersebut dapat? Apakah jaminan pengekalan penduduk asal? Adakah dengan pembangunan yang dibina mampu untuk kekalkan status lot bumiputra atau akan dibeli oleh orang luar yang lebih berkemampuan untuk membeli dengan kenaikan harga rumah yang bakal berlaku?
Persoalan ini wajar kerana tindakan yang berlaku sekarang amat licik dan sangat bahaya kepada kaum majoriti Malaysia iaitu kaum Melayu. Hal ini juga seiring dengan kenyataan negarawan negara, Tun Mahathir Mohamad yang berpandangan pembaharuan bandar perlu dilakukan tanpa mengeluarkan orang Melayu dari bandar. Kawasan setinggan di bandar-bandar diduduki oleh orang Melayu yang taraf ekonomi mereka rendah. Apabila dibangunkan semula bandar, rumah dan bangunan akan menjadi mahal yang sememangnya tidak mampu untuk dimiliki oleh golongan miskin dibandar terutama orang Melayu.
Rakyat perlukan ketulusan kerajaan dalam isu ini supaya tiada seorang pun daripada penduduk asal dipinggirkan hak pemilikan hartanah di bandar. Sekiranya akta ini bagus untuk dilaksanakan maka, menteri KPKT perlu libatkan 613 buah kampung baru cina dalam pelaksanaan akta ini. Bukankah matlamat akta ini untuk meningkatkan kesejahteraan sosial serta mewujudkan mekanisme pembangunan semula dengan lebih efektif dan komprehensif selaras dengan Agenda Malaysia MADANI?
Admin Gelombang BERJASA