Caj Kesesakan di Kuala Lumpur: Penyelesaian atau Beban Baharu Kepada Rakyat?

Kerajaan MADANI sekali lagi memperkenalkan dasar baharu dengan cadangan mengenakan caj kesesakan di Kuala Lumpur sebagai langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan caj ini mampu mengurangkan kesesakan trafik sehingga 20 peratus di ibu negara.

Beliau menyatakan bahawa caj kesesakan ini akan dikenakan kepada kenderaan yang memasuki kawasan tertentu dalam waktu puncak, sama seperti sistem yang dilaksanakan di bandar-bandar utama dunia seperti Singapura dan London. Langkah ini dikatakan bertujuan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran udara dan mengoptimumkan pergerakan trafik di ibu kota.

Masalah Infrastruktur Pengangkutan Awam Masih Belum Selesai

Walaupun kerajaan berhasrat untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, realiti di lapangan menunjukkan bahawa sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih menghadapi pelbagai masalah, termasuk:

  1. Kekerapan perkhidmatan yang tidak menentu, terutama bagi bas dan komuter.
  2. Masalah kesesakan dalam tren pada waktu puncak yang tidak mampu menampung kapasiti penumpang.
  3. Akses yang terhad ke kawasan-kawasan tertentu, menyebabkan pengguna tetap bergantung kepada kenderaan persendirian.

Jika kerajaan ingin mengurangkan kesesakan dengan memaksa rakyat menggunakan pengangkutan awam, sepatutnya sistem pengangkutan awam diperkasakan dahulu sebelum caj kesesakan diperkenalkan. Bagaimana rakyat boleh dipaksa meninggalkan kenderaan sendiri jika alternatif yang ditawarkan masih belum efisien dan menyusahkan pengguna?

Beban Tambahan Kepada Golongan Berpendapatan Rendah

Salah satu kebimbangan utama berkenaan caj kesesakan ini ialah ia lebih membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ramai pekerja yang tinggal di kawasan luar bandar dan pinggir kota terpaksa menggunakan kenderaan persendirian kerana pilihan pengangkutan awam yang terhad atau tidak praktikal bagi mereka.

Jika mereka dikenakan caj tambahan hanya untuk masuk ke tempat kerja, ia akan meningkatkan lagi kos hidup mereka yang sudah pun tinggi akibat kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi kerajaan. Sementara itu, golongan kaya yang mampu membayar caj ini tidak akan terkesan langsung dan tetap boleh menggunakan kenderaan mereka seperti biasa. Adakah ini keadilan yang diperjuangkan oleh kerajaan?

Dasar Tidak Mesra Rakyat Perlu Dihentikan!

Caj kesesakan di Kuala Lumpur bukan sahaja menambah beban rakyat, tetapi juga mencerminkan kegagalan kerajaan dalam menyediakan penyelesaian sebenar kepada masalah kesesakan lalu lintas. Jika kerajaan serius mahu menangani isu trafik, keutamaan harus diberikan kepada pembaikan pengangkutan awam terlebih dahulu sebelum sebarang caj dikenakan kepada pengguna jalan raya.

Kerajaan diseru untuk mempertimbangkan semula cadangan ini dan mengambil kira pandangan serta keperluan rakyat marhaen yang terkesan. Jangan biarkan rakyat terus terbeban dengan polisi yang hanya menguntungkan golongan elit dan kapitalis!

Adakah kerajaan benar-benar peduli terhadap rakyat, atau hanya mahu mencari jalan mudah untuk menambah hasil tanpa menyelesaikan masalah asas?

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Beras Tempatan: Fokus Kedaulatan Makanan, Henti Beri Alasan

Next Post

Dua Tahun Lebih Kerajaan MADANI: Forest City Gagal, SFZ Bakal Menyusul?

Related Posts