Pengumuman penstrukturan semula tenaga kerja oleh PETRONAS menimbulkan kebimbangan kerana impak yang bakal dihadapi ramai pihak. Dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat, keputusan ini berpotensi menyebabkan ramai pekerja kehilangan punca pendapatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik, bagaimanapun menyatakan bahawa langkah ini perlu bagi memastikan syarikat terus bertahan dalam tempoh 10 tahun akan datang. Namun, yang menjadi tanda tanya adalah apakah tindakan kerajaan bagi melindungi tenaga kerja tempatan?
Jika syarikat besar milik negara seperti Petronas ini pun gagal menjamin pekerjaan yang tetap untuk rakyat Malaysia, bagaimana pula dengan keadaan syarikat swasta di sektor lain yang lebih terdedah kepada ketidaktentuan pasaran? Menteri Ekonomi, YB Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, yang pernah berkhidmat di Petronas dan memahami selok-belok serta budaya operasi syarikat tersebut, sepatutnya lebih peka terhadap implikasi penyusunan semula ini terhadap pekerja tempatan.
Ketidaktentuan nasib Tenaga Kerja tempatan
Berdasarkan Teras Ekonomi & Sara Hidup dalam BINA2040, kerajaan sepatutnya menjaga
dan melindungi tenaga kerja tempatan. Namun, Petronas kini berpotensi menjejaskan tenaga pekerja sedia ada yang sepatutnya diberikan perlindungan dan peluang pekerjaan baharu. Sehingga kini, Petronas belum mengumumkan secara terperinci langkah-langkah khusus bagi menangani hal ini. Petronas, sebagai entiti yang mengaut keuntungan besar dari hasil bumi negara, diharapkan lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerjanya.
Selain itu, pengurangan tenaga kerja ini bakal memberi impak besar kepada ekonomi
negara. Dengan kadar pengangguran yang masih belum stabil pasca-pandemik, keputusan ini
hanya akan menambahkan lagi beban rakyat. Kerajaan sepatutnya memastikan setiap tindakan
korporat berskala besar seperti ini disertai dengan pelan mitigasi yang jelas, tidak sehingga
membiarkan pekerja menghadapi risiko kehilangan kerja tanpa jaminan masa depan.
Transformasi Industri atau Sekadar Helah Mengaut Keuntungan?
Petronas mendakwa bahawa penyusunan semula ini adalah sebahagian daripada usaha
menyesuaikan diri dengan peralihan global ke arah tenaga lestari. Namun, apakah jaminan
bahawa syarikat ini benar-benar akan melabur dalam sektor baharu dan bukan sekadar
menggunakan alasan ini untuk mengurangkan kos operasi?
Mengikut teras Sains, Teknologi & Alam Sekitar dalam BINA2040, Malaysia perlu melabur
dalam tenaga hijau dan inovasi untuk memastikan daya saing ekonomi negara. Namun,
sehingga kini, tiada pelan yang jelas menunjukkan bagaimana transformasi tenaga ini akan
membawa manfaat kepada tenaga kerja tempatan.
Jika kerajaan dan Petronas benar-benar serius dalam peralihan tenaga, mereka sepatutnya melabur dalam mengadakan kursus bagi pekerja-pekerja sedia ada bagi mengasah kemahiran baharu bukannya sekadar mengurangkan tenaga kerja tanpa hala tuju yang jelas.
Kerajaan Perlu Jana Idea Ekonomi Baru, Berhenti Bergantung kepada Petronas Sahaja
Justifikasi bagi langkah penyusunan semula tenaga kerja oleh PETRONAS adalah barangkali disebabkan margin keuntungan yang semakin kecil ditambah dengan cabaran teknikal yang lebih tinggi sehingga menyebabkan jalan ‘survival’ terpaksa diputuskan secara segera.
Pada masa yang sama, RHB IB juga ada meramalkan pembayaran dividen oleh Petronas akan lebih rendah daripada RM32 billion pada tahun 2025 ini. Bertitik tolak daripada ini, kerajaan perlu berhenti bergantung kepada Petronas dan bertindak lebih proaktif untuk mencari dana atau pendapatan lain bagi memenuhi pelbagai keperluan kerajaan.
Biarpun PETRONAS umumnya dianggap sebagai aset strategik negara yang memberikan pendapatan besar kepada kerajaan, kebergantungan ini tidak sepatutnya berpanjangan malah keadaan ekonomi semasa melahirkan urgensi bagi kerajaan untuk memanfaatkan sumber hasil bumi dan pengupayaan tenaga secara optimum lantas berupaya meningkatkan hasil dari sektor-sektor lain bagi menjamin kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang.