SHAH ALAM – Pada hari ini iaitu 7 November 2023 menandakan telah sebulan berlangsungnya Taufan Aqsa yang merupakan operasi bagi membebaskan bumi Palestin dari penjajahan sejak Deklarasi Balfour 1917. Peperangan ini sudah pun memakan korban ribuan orang di Gaza yang kebanyakan mangsanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Bukan itu sahaja malahan pihak tentera Zionis telah mencabul undang-undang antarabangsa dengan menggunakan bom fosforus untuk disasarkan ke atas rakyat Gaza.
Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya benarkah bumi Palestin itu milik org Palestin dan bukan milik orang Yahudi. Bagaimanakah orang Yahudi dapat membina negara Israel jika itu bukan tanah mereka? Persoalan itu sering dimainkan pada siapa-siapa sahaja yang mengikuti isu konflik ini.
Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadhilah Ashari berkata proses penjajahan ini telah bermula dengan satu perancangan jahat pihak kuasa besar dunia yang telah membenarkan orang Yahudi mengambil tanah Palestin bagi mendirikan negara mereka. Beliau menekankan bahawa Deklarasi Balfour yang diperkenalkan oleh British merupakan satu titik tolak kepada berlakunya sejarah hitam untuk rakyat Palestin.
“Deklarasi Balfour merupakan sebuah surat bertarikh 2 November 1917 daripada Setiausaha Luar British Arthur James Balfour kepada pemimpin Yahudi British Lord Rothschild untuk dikirimkan kepada Persekutuan Zionis British dan Ireland”.
“Surat ini menggambarkan kedudukan yang diambil oleh Kabinet British seperti yang dipersetujui semasa mesyuarat pada 31 Oktober 1917. Ia juga menyatakan deklarasi ini sebagai isyarat “simpati kepada aspirasi Zionis Yahudi. Deklarasi ini kemudiannya disiarkan secara umum pada 9 November 1917 dan menjadi kenyataan rasmi dasar kerajaan British menyokong penubuhan negara orang Yahudi di Palestin”, tegas beliau.
Tegas beliau lagi, ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ia telah mencabuli perjanjian antarabangsa dengan memberi sokongan kepada orang Yahudi untuk merampas tanah rakyat Palestin bagi mendirikan negara mereka setelah tidak ada mana-mana negara lagi yang ingin memberikan tanah untuk mereka.
Apatah lagi keputusan jahat ini dengan jelas ingin menyebabkan rantau Arab akan sentiasa bergolak dengan adanya negara haram Israel di tengah rantau Arab.