RIYADH – Negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Jordan, Qatar dan Yaman pada Ahad mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan seorang menteri kabinet Israel yang mencadangkan untuk menggugurkan bom nuklear di Gaza sebagai satu daripada ‘pilihan’ Israel pada masa akan datang, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Kementerian Luar Arab Saudi kegagalan untuk segera memecat menteri itu dan hanya menggantung tugasnya mencerminkan sikap tidak peduli terhadap nilai kemanusiaan, etika, agama dan undang-undang oleh Israel, lapor Agensi Berita Arab Saudi.
Jordan juga mengecam kenyataan itu, menyifatkannya sebagai seruan untuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kebencian yang tidak boleh diabaikan.
Kenyataan itu juga berunsur hasutan untuk membunuh dan melakukan jenayah perang, sebagai tambahan kepada jenayah-jenayah yang dilakukan terhadap penduduk Semenanjung Gaza.
Jurucakap Kementerian Luar Jordan Sufyan Al-Qudah berkata kenyataan sedemikian merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan yang memerlukan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera membanterasnya.
Beliau berkata memerangi ucapan kebencian melibatkan langkah-langkah berkesan akan memaksa Israel, sebagai kuasa penjajah untuk menghentikan serangan berterusan terhadap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki serta pencabulan mereka ke atas undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.
Sementara itu, Kementerian Luar Qatar berkata ancaman itu satu merupakan hasutan serius untuk melakukan jenayah perang.
Qatar turut mengecam tindakan Israel yang tidak memecat menteri itu.
Yaman menerusi Kementerian Luarnya juga mengecam kenyataan pegawai Israel itu yang disifatkan mencerminkan tahap kebencian dan ekstremisme yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Yaman turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk menghentikan retorik perkauman dan menghasut, serta jenayah terhadap penduduk Palestin.