Kempen pilihan raya di media sosial telah tular dengan pengisian berbentuk perkauman dan ektremisme agama.
Mendukacitakan apabila para pelaku ini membuat kesalahan itu tanpa memikirkan kesan panjangnya kepada keharmonian negara kita.
Saya berpendapat isu ini menampakkan begitu rapuhnya institusi sosial masyarakat kita. Pengasingan interaksi sosial kaum melahirkan syak wasangka sesama sendiri dan menimbulkan perasaan yang negatif.
Sudah masanya portfolio Menteri Perpaduan diperkasakan dengan menyerahkan tanggungjawabnya kepada ahli Parlimen yang berkelayakan.
Portfolio kementerian ini perlu diisi oleh pihak yang bebas kontroversi dan mempunyai “political will” untuk menyelesaikan permasalahan ini.
Mungkin ramai pihak melihat jawatan Menteri Perpaduan ini tidak segah jika dibandingkan dengan jawatan menteri-menteri kanan lain seperti Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan malahan Timbalan Perdana Menteri namun penting untuk diingatkan bahawa perpaduan kaum adalah kunci kepada kemakmuran negara.
Ekonomi, industri dan pentadbiran tidak dapat dijalankan apabila rakyat hidup dalam keadaan yang tidak harmoni.
Martabat Kementerian Perpaduan perlu diangkat oleh pihak kerajaan. Sokongan pihak kerajaan melalui pemberian bajet yang mencukupi amat digalakkan kerana banyak inisiatif boleh dibuat seperti program jelajah erat perpaduan dan kempen perpaduan kaum di media sosial mahupun di media arus perdana.
Sesebuah negara yang kuat adalah negara yang disokong dengan kuat oleh rakyat yang bersatu hati.
Fahmi Bazlan
Ketua Pemuda BERJASA