Kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) baru-baru ini mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel Beras Putih Import (BPI) yang dirampas mengandungi campuran Beras Putih Tempatan (BPT).
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dapatan kajian dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal tahun mendapati tindakan itu berlaku sejak tahun 1970-an lagi selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).
Bagaimanapun, ketiadaan peruntukan undang-undang yang jelas di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) menyukarkan tindakan undang-undang terhadap aktiviti ini.
“Mengambil kira pandangan pesawah, pengguna dan industri, kerajaan Madani mengambil tanggungjawab untuk mengawal amalan tersebut dengan memperhalusi arahan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN),” menurut kenyataan KPKM.
Apa yang lebih penting adalah untuk memahami isu pokok dalam memastikan kedaulatan makanan di Malaysia. Kerajaan sekarang perlu lebih proaktif dan progresif dalam memastikan keterjaminan makanan di Malaysia. Bukan hanya sekadar menceritakan sejarah amalan-amalan kerajan lepas yang telah berlaku dan kerajaan sekarang hanya meneruskan sahaja. Tahap Sara Diri (TSD) bagi beras di Malaysia masih dalam lingkungan 65-70%, dimana negara masih lagi mengimport beras daripada negara seperti Thailand, Vietnam, India, Pakistan, dan Kambodia.
Selain itu, sejauh mana alasan ‘memenuhi citarasa pengguna tempatan’ masih relevan? Kenyataan ini seolah-olah mahu menutup mulut rakyat berkaitan isu ini. Perkara ini berbangkit bertitik tolak daripada persoalan yang dibangkitkan rakyat ‘dimana beras tempatan di pasaran?’. Kos sara hidup yang semakin meningkat naik, rakyat semakin bijak untuk berbelanja dan memberi sokongan kepada barangan tempatan. Sudah pasti untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah berbanding beras import. Oleh itu, dengan kata lain kebanyakan pengguna di Malaysia tidak sedar bahawa mereka memilih beras campuran. Adakah rakyat Malaysia sedang diperdaya?