Teka-teki mengenai kesediaan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menunaikan janjinya meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi kembali hangat selepas beliau tewas mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Apa yang menjadi persoalan bukanlah soal kalah dalam pertandingan dalaman parti, tetapi janji yang keluar dari mulut Rafizi sendiri sebelum ini , bahawa jika beliau gagal mempertahankan jawatan dalam parti, maka beliau tidak layak lagi berada dalam Kabinet. Maka rakyat kini bertanya, adakah janji itu hanya sekadar retorik untuk memancing simpati dan undi?
Dalam sebuah kerajaan yang melaungkan prinsip Madani, integriti dan akauntabiliti, janji sebegini tidak boleh diambil ringan. Bila seorang menteri sendiri meletakkan garis sempadan terhadap keberadaan dirinya dalam Kabinet, maka kehilangan mandat dalam parti sepatutnya diiringi dengan perletakan jawatan secara terhormat.
Politik baharu yang dicanang oleh Rafizi dan rakan-rakan hanya akan menjadi nyata jika pemimpin berani bertanggungjawab terhadap kata-kata sendiri. Jangan sampai rakyat melihat pentadbiran hari ini sama sahaja dengan yang dahulu – penuh dengan janji, tetapi kosong dari tindakan.
Jika integriti politik benar-benar dijunjung, Rafizi wajar menepati janji dan berundur dengan bermaruah.