BANGI – Parti DAP dilihat konsisten dengan agenda Malaysian Malaysia mereka walaupun sudah membentuk kerajaan untuk kali kedua selepas 2018. Mereka tanpa segan silu mengangkat naratif hak sama rata seperti mana yang pernah mereka perjuangkan dahulu sewaktu menjadi pembangkang.
Itu kenyataan tegas daripada Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim setelah melihat keceluparan beberapa veteran dan ahli pimpinan DAP dalam menyentuh soal sensitiviti Melayu dan Islam. Veteran DAP, Lim Kit Siang sebelum ini dengan kurang ajarnya menggesa untuk Malaysia belajar menerima calon Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu.
Tidak cukup dengan itu, Ahli Parlimen Beruas iaitu Nge Koo Ham yang menggesa agar dilantik pakar perundangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“DAP sebenarnya dilihat tidak faham dengan tafsiran Islam sebagai agama persekutuan. Sebelum ini dalam soal tulisan Jawi, mereka begitu keras menentang tulisan Jawi. Sama juga dengan sekolah agama yang dituduh oleh mereka sebagai pusat pendoktrinan untuk melahirkan Taliban.”
“Ini semua kenyataan yang menggambarkan DAP gagal memahami perlembagaan tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan”, tegas beliau.
Beliau menegaskan juga sudah sampai masanya DAP mengubah perlembagaan parti mereka sekiranya ingin berpentas politik di negara kita. Jika DAP masih membawa agenda Malaysian Malaysia yang sama diperjuangkan oleh PAP, elok sekiranya mereka menyertai arena politik di Singapura sahaja.
Penggubalan ini penting jika DAP ingin menampakkan mereka menghormati kehendak yang dituntut oleh perlembagaan persekutuan dalam soal Melayu dan Islam. DAP disarankan untuk mempelawa para agamawan untuk menggubal perlembagaan DAP selari dengan kehendak dan tafsiran yang dituntut oleh Islam.
“Hal ini penting kerana sudah sampai masanya DAP perlu mengambil langkah yang baharu jika ingin terus kekal berpentas politik di Malaysia. Jika DAP itu tidak mahu setuju dengan cadangan ini, maka jelas DAP merupakan parti yang degil dan tidak menghormati perlembagaan persekutuan”.
“Nasihat saya parti ini perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia tidak kira mana-mana kaum kerana tidak menghormati sensitiviti rakyat. Ataupun kata lainnya juga jika terus berdegil, elok sahaja parti ini diharamkan terus”, ujar beliau.