NILAI, 24 Julai – Parti BERJASA akan melancarkan ‘Tawaran BERJASA Untuk Nilai’ esok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ke-16.
Pengarah Pilihan Raya Negeri Sembilan, Fauzi Bashir berkata majlis pelancaran itu akan diadakan serentak dengan sesi townhall bersama peserta di Dewan Melur, Nilai 3 pada jam 8.30 malam, dan tawaran berkenaan menggariskan komitmen utama parti itu kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Nilai.
Beliau berkata sesi townhall itu memberi peluang kepada penduduk Nilai untuk bertanya, menyuarakan isu setempat dan berdialog secara terus dengan beliau.
“Kami memilih untuk membawa tawaran, bukan sekadar manifesto. Tawaran ini adalah ikrar khidmat kami kepada seluruh penduduk Nilai tanpa mengira kaum dan agama, dan ia akan dilaksanakan dengan penuh amanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Melalui townhall ini juga, kami bukan sahaja membentangkan tawaran, malah mahu mendengar terus suara penduduk Nilai. Itulah cara kepimpinan yang kami bawa,” katanya.
Fauzi Bashir turut menyeru seluruh pengundi Nilai hadir ke majlis pelancaran dan sesi townhall itu bagi mendengar sendiri komitmen yang ditawarkan BERJASA.
“Insya-Allah, pada 1 Ogos ini, pangkah calon nombor satu untuk perubahan yang lebih baik buat Nilai,” katanya.
DUN Nilai menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Ustaz Zamani (BERJASA), penyandang J. Arul Kumar (Pakatan Harapan), Lai Chien Kong (Barisan Nasional), Datuk V. Saravana Kumar Veerasamy (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan calon Bebas Omar Mohamad Isa.
Dewan Undangan Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu, dengan penamaan calon berlangsung 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi ditetapkan 1 Ogos.