Status Bumiputera kembali hangat dbincangkan setelah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta untuk pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak kembali isu ‘penolakan’ permohonan pengiktirafan status Bumiputera masyarakat India Muslim.
Walaubagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa keputusan permohonan itu sama diluluskan ataupun tidak perlu melalui proses perlembagaan biasa mengikut lunas undang-undnag sedia ada.
Tambah beliau, permohonan itu tidak berdasarkan kepada tempoh masa yang ditetapkan maka segalanya bergantung kepada semakan yang akan dijalankan oleh KDN.
Permohonan untuk mendapatkan status Bumiputera ini begitu ‘dikejar’ oleh kaum lain memandangkan pelbagai kemudahan dan inisiatif boleh diterima terutamanya dari segi pendidikan dan ekonomi.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Bumiputera?
Bumiputera adalah istilah yang digunakan di Malaysia untuk merujuk kepada kumpulan etnik yang dianggap sebagai penduduk asal di negara ini atau yang mempunyai kaitan budaya dan sejarah yang mendalam dengan Malaysia.
Istilah ini berasal daripada bahasa Melayu di mana “bumi” bermaksud tanah dan “putera” membawa maksud anak lelaki atau putera.
Maka Bumiputera boleh diterjemahkan secara literal sebagai “anak tanah” yang juga sinonim dengan terma pribumi.
Antara kaum yang dikategorikan sebagai Bumiputera ini ialah kaum Melayu seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Seseorang itu dianggap Melayu jika beragama Islam, lazimnya bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat resam Melayu dan lahir atau menetap di Malaysia atau Singapura sebelum Hari Merdeka (31 Ogos 1957) ataupun keturunan seseorang yang lahir sebelum tarikh tersebut.
Bukan sahaja kaum Melayu malahan etnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia seperti Semai, Temiar, Jakun, Mah Meri dan banyak lagi juga ditakrifkan sebagai Bumiputera.
Di bahagian Malaysia Timur pula iaitu di Sabah kumpulan seperti Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus juga dikategorikan sebagai Bumiputera sama seperti kumpulan Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu di Sarawak.
Selain itu, individu dengan keturunan campuran Bumiputera dan bukan Bumiputera bergantung kepada undang-undang dan tafsiran di peringkat negeri.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia memberi beberapa hak istimewa kepada Bumiputera yang dikenali sebagai “kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak” (Perkara 153) termasuk pendidikan, ekonomi, kerjaya dan tanah rizab Melayu.
Perhalusi Semakan Permohonan Status Bumiputera Secara Teliti, Jangan Semberono
Keistimewaan yang diperoleh oleh kaum Bumiputera nyata menarik minat kaum lain untuk memohonnya walaupun dari susu galur sebenarnya tidak layak untuk diberikan status Bumiputera.
Kerajaan diminta untuk tidak tergesa-gesa memberikan status Bumiputera kepada kaum lain kerana perlu jelas bahawa nasib kaum Bumiputera sedia ada masih lagi belum terbela sepenuhnya.
Laporan yang mengatakan tanah rizab Melayu semakin susut jumlahnya masih gagal untuk diselesaikan oleh kerajaan sedangkan itu adalah hak kaum Bumiputera yang termaktub di dalam perlembagaan.
Hal ini tidak diambil kira lagi nasib kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang masih belum menikmati sepenuhnya kemudahan pendidikan yang baik.
Jalan raya ke sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak masih belum dibaiki sepenuhnya ditambah lagi dengan jaringan internet yang masih terhad untuk mereka nikmati.
Utamakan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh kaum-kaum Bumiputera ini dahulu baharu boleh fokuskan untuk meluluskan permohonan status Bumiputera kaum lain atau tidak.