Tak Banyak Berubah, Masih Pemain Lama Cuma Tukar Kawasan – Ir Lukman Al Hakim

Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Strategi rata-rata parti gabungan politik tidak banyak berubah apabila masih mengetengahkan muka dan pemain lama sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengambil contoh Barisan Nasional (BN), meskipun menggugurkan beberapa nama, bukanlah semata-mata demi pembaharuan, tetapi bagi membalas dendam dan menghukum rakan seperjuangan.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad yakin BN terutamanya UMNO masih kekal sebagai parti elit yang penuh dengan birokrasi dalaman.

“PH (Pakatan Harapan) pula terutama PKR membariskan lebih ramai calon bukan Melayu dan bukan Islam.

“Ia tidak menjadi masalah bagi mereka kerana penyokong dan simpatisan Melayu yang berfahaman liberal tetap akan menyokong walau siapa pun calon yang diletakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Muhammad Lukman, PKR yang selama ini terkenal dengan parti ‘multi-racial’ kini seolah-olah semakin didominasi oleh bukan Melayu.

Sementara PAS di dalam Perikatan Nasional (PN) pula kekal ‘istiqamah’ dengan muka-muka lama di kawasan masing-masing, katanya.

“DAP dalam PH juga sama. Percaturan calon menunjukkan PAS dan DAP menyasarkan status quo. Kekalkan bilangan kerusi sedia ada sahaja.

“Apa-apa pun tahniah dan selamat bekerja untuk rakyat semua. Sehingga jam 10 pagi Sabtu ini segalanya mungkin berlaku. 

“Slogan baru PRU15 kali ini ‘Now everyone can enter politic’, termasuklah anak muda dari Parti Perikatan Buaya!,” katanya.

BN dan PN mengumumkan senarai calon masing-masing yang akan bertanding dalam PRU15, secara serentak di dua lokasi berlainan malam tadi.

Pengumuman itu menyaksikan terdapat beberapa pemimpin digugurkan termasuk penyandang Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, penyandang Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara dalam khemah PN pula menyaksikan terdapat beberapa kerusi yang masih dikosongkan tanpa calon, termasuk di Parlimen Arau.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Dato Rosli Ramli BERJASA

Jangan Undi Pemimpin Cair Identiti Islam – Dato Rosli Ramli

Next Post
Calon GTA BERJASA

PRU15: Senarai Penuh Calon Gerakan Tanah Air

Related Posts