Mengapa Nilai Ringgit naik & Turun?

Puchong – Ketidaktentuan ekonomi kini disekalikan dengan naik turun nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) kita.

Bagi yang mempelajari ilmu ekonomi, mungkin mengerti mengapa berlakunya penurunan dan kenaikan nilai mata wang Ringgit ini.

Namun demikian, sebenarnya masih ramai yang belum mengerti hukum ekonomi ini kerana rata-rata rakyat Malaysia tidak semuanya terlibat dalam urusan perniagaan ataupun pelaburan.

Dalam dunia ekonomi, perkara asas yang mereka tahu hanyalah jual beli dan membayar komitmen wang pinjaman sahaja.

Penting untuk kita mengetahui berkenaan dengan naik dan turun nilai mata wang Ringgit kerana ia berkait dengan kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna iaitu rakyat sendiri.

Contohnya, pengguna akan merasakan mahal untuk membeli kereta berjenama import kerana selain daripada cukai import yang dikenakan oleh kerajaan, ia juga didorong atas faktor nilai Ringgit itu sendiri yang rendah.

Bukan itu sahaja malahan jika nilai RM itu naik, barang import yang memasuki pasaran Malaysia akan menjadi murah.

Terdapat beberapa faktor berlakunya naik dan turun nilai mata wang Ringgit antaranya ialah kestabilan politik dan prestasi ekonomi negara, keputusan kadar faedah bank pusat dan prestasi dagangan serta kekuatan matawang dolar AS.

Faktor-faktor ini ada yang terdiri daripada dalaman (internal) dan luaran (external).

Faktor dalam (internal) ini boleh dirujuk kepada suhu ataupun keadaan politik Malaysia sama ada ia selamat untuk pelabur menjalankan aktviti ekonomi ataupun tidak manakala faktor luaran (external) pula ialah dasar yang yang ditetapkan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat melalui kenaikan kadar faedahnya sehingga memerlukan Bank Negara Malaysia melakukan tindakan yang sama.

Kestabilan politik dan prestasi ekonomi menjadi penentu aras kepada naik dan turun nilai mata wang Ringgit kerana para pelabur akan melihat kepada dua aspek ini dahulu sebelum melabur.

Jika suhu politik berada dalam keadaan baik, para pelabur melihat ia sebagai jaminan pelaburan mereka akan kukuh untuk memasuki pasaran sesebuah negara itu maka akan berlakunya permintaan yang tinggi untuk membeli mata wang Ringgit.

Impaknya, nilai Ringgit akan meningkat sejajar dengan penggunaan Ringgit yang tinggi dalam ekonomi.

Kedua, ia bergantung kepada keputusan ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) melibatkan kadar faedah.

Para pelabur akan melihat mana-mana negara yang mempunyai kadar faedah yang tinggi. Hal ini demikian kerana negara yang menetapkan kadar faedah yang tinggi akan membawa pulangan pelaburan yang lebih lumayan kepada pelabur.

Disebabkan inilah sekiranya terdapat ura-ura bahawa kadar faedah akan dinaikkan di AS, para pelabur akan berpusu-pusu menjual pegangan ekuiti mereka di Malaysia untuk membeli ekuiti AS demi meraih pulangan yang lebih tinggi. Permintaan yang tinggi terhadap matawang asing (dolar AS), menyebabkan nilai matawang tempatan (ringgit) susut.

Ketiga, perdagangan eksport dan import turut mempengaruhi nilai matawang ringgit.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan pasaran ekonomi terbuka dan bebas berdagang dengan mana-mana negara yang mempunyai hubungan baik bersama Malaysia.

Dalam soal perdagangan ini, ia melibatkan nisbah eksport dan import.

Sekiranya harga eskport sesebuah negara itu naik lebih tinggi berbanding harga import, terma perdagangan akan bertambah baik.

Perkara ini memberi kelebihan kerana satu unit eksport mampu membeli lebih banyak unit import, menyebabkan barangan import menjadi lebih murah serta taraf hidup dapat ditingkatkan.

Situasi ini akan mendorong permintaan yang lebih tinggi terhadap eksport serta matawang tempatan, lantas menyebabkan nilai matawang tempatan turut naik.

Jelas di sini bahawa naik dan turunnya nilai mata wang Ringgit itu adalah normal dengan syarat ia tidak berlaku secara ekstrim sehingga boleh merugikan ekonomi Malaysia.

Imran Hakimi

NASTRACOM

Samsu Alam

Penyelidik Ekonomi

Sumber: https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-101-tiga-faktor-utama-mempengaruhi-turun-naik-nilai-ringgit/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA dan parti BERJASA.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia Perlu Mengupayakan Unsur Nadir Bumi

Next Post

BERJASA Kapar Santuni Akar Umbi

Related Posts