Demi melindungi negara daripada terikut budaya Barat, rakyat khususnya anak muda perlu melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November nanti.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, rakyat tidak lagi boleh menunggu dan terus berasa selesa terhadap sebarang agenda ke arah mengubah identiti negara.
Beliau berkata demikian merujuk kepada agenda Barat yang sudah mula diterima dan diamalkan di negara Arab menerusi pesta hantu Halloween, baru-baru ini.
Kelmarin, Boulevard Riyadh City bertukar arena pesta kostum apabila pengunjung dibenarkan masuk ke Boulevard secara percuma dengan syarat mereka memakai pakaian hantu yang menakutkan.
Sebelum ini, pesta Halloween diharamkan, namun kini sudah dirayakan di Arab Saudi.
“Dah elok-elok mulia Arab itu dengan indahnya Islam, sekarang rosak berkiblatkan Barat. Kecelaruan identiti bermula dengan ikut-ikut.
“Liberalisme adalah ancaman paling besar, sehingga tercabut segala akar-akar jati diri dan agama manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Fahmi menyeru seluruh rakyat khususnya anak muda supaya menyelamatkan negara dan menjaganya supaya kecelaruan seumpama itu tidak menular ke Malaysia.
Sumber ismaweb.net