Shah Alam – Kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan bahawa kejatuhan nilai Ringgit juga ada kebaikannya untuk negara seakan menampakkan beliau mengambil mudah dalam isu ini.
Di kala rakyat terhimpit dengan krisis ekonomi iaitu inflasi dek kejatuhan nilai Ringgit, kenyataan sedemikian sebenarnya hanya menambahkan minyak ke dalam api semata-mata.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan ketika dihubungi oleh Gelombang BERJASA berkata, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh para menteri adalah mewakili kerajaan. Bahkan Rafizi juga menjawat jawatan menteri kanan kepada Perdana Menteri.
Beliau menegaskan juga bahawa setiap kenyataan yang dibuat perlu bertanggungjawab dan memenuhi kehendak survival rakyat dan negara.
“Apa yang dinyatakan oleh Rafizi hanya mewakili sebahagian pendapat sahaja sedangkan di sisi lain adalah kejatuhan nilai mata wang Ringgit akan memberikan impak yang besar kepada inflasi dan kenaikan harga barang. Ini secara tidak langsung akan terus membebani rakyat dengan kos sara hidup yang meruncing”.
“Kenyataan itu tidak sepatutnya diperkatakan oleh menteri dan tidak bertanggungjawab”, tegas beliau.
Beliau menambah, kerajaan sepatutnya memberikan sepenuh fokus dan usaha dalam menstabilkan pasaran supaya mata wang negara kekal stabil dan bertambah baik dari semasa ke semasa.
“Cuba kerajaan fikirkan nasib-nasib peniaga ini. Mereka yang sebenarnya menjadi mangsa kepada ketidaktentuan nilai mata wang Ringgit kita ini. Barang-barang import terutamanya akan menjadi mahal dan menjejaskan peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk membelinya”.
“Terbaharu pula berkenaan kes bekalan gula kurang di pasaran. Tiba-tiba kerajaan keluarkan kenyataan bahawa pengeluar gula dibenarkan menjual gula mereka tanpa harga apungan dan mengeluarkan gula ‘premium’ sendiri. Secara automatik gula selepas ini bakal keluar daripada produk kawalan harga”.
“Kerajaan sepatutnya datangkan bersama solusi untuk isu ini kerana mustahil rakyat tidak tertekan dengan kesempitan ekonomi kini”, jelas beliau kepada Gelombang BERJASA.