KAHANG, 7 Julai — Parti BERJASA tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memilih untuk menggerakkan jenteranya bagi membantu kempen Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang.
Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan kepentingan yang lebih besar, iaitu memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali menguasai Johor.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini ialah menyeru pengundi Johor mengundi calon yang mampu menewaskan PH.
“Keutamaan kita pada pilihan raya ini adalah memastikan Pakatan Harapan ditewaskan. Sama ada DAP, PKR mahupun Amanah, semuanya berada dalam satu gabungan yang sama dan rakyat perlu melihat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendirian BERJASA berhubung PRN Johor.
Dakwa DAP kuasa dominan dalam PH
Zamani mendakwa DAP merupakan parti paling dominan dalam PH serta terus membawa agenda ‘Malaysian Malaysia
Menurutnya, setiap kemenangan PH secara tidak langsung akan mengukuhkan kedudukan DAP dalam pentadbiran.
“Bagi kami, isu ini bukan sekadar persaingan antara parti politik, tetapi melibatkan hala tuju negara pada masa hadapan. Sebab itu kita melihat keperluan untuk menghalang PH daripada memperoleh kemenangan,” katanya.
Bimbang kedudukan strategik Johor
Zamani turut membangkitkan faktor geopolitik Johor yang bersempadan dengan Singapura sebagai antara perkara yang perlu diberi perhatian.
Menurut beliau, Singapura ditadbir oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang sering dikaitkan sebagai parti asal kepada DAP dari sudut sejarah politik.
Beliau berkata, ketika ini DAP sudah menerajui pentadbiran di Pulau Pinang selain menjadi sebahagian daripada kerajaan di beberapa negeri lain seperti Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Jika Johor pula dikuasai PH, maka DAP juga akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. Pada masa yang sama, mereka juga berkongsi kuasa di peringkat Persekutuan. Perkembangan ini perlu dinilai secara serius oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pelaksanaan ratusan projek pembangunan di Kampung Baru Cina yang menurutnya melibatkan peruntukan kira-kira RM85 juta.
Menurut beliau, pelaksanaan projek sedemikian dikhuatiri akan terus mengukuhkan pengaruh politik DAP pada masa hadapan.
Ingatkan BN hormati mandat rakyat
Dalam perkembangan sama, Zamani berkata BERJASA tidak menghalang sekiranya Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dan membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.
Namun, beliau mengingatkan agar mandat yang diberikan rakyat tidak dikhianati melalui pembentukan kerajaan campuran bersama DAP selepas pilihan raya.
“Jika rakyat memberikan mandat kepada BN, maka hormatilah mandat tersebut. Jangan selepas menang, akhirnya bekerjasama pula dengan DAP atas alasan semak dan imbang atau apa juga alasan yang lain,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mandat pengundi perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang konsisten dengan pilihan rakyat.
Seru PH disingkirkan
Mengakhiri kenyataannya, Zamani menyeru pengundi supaya menggunakan hak mereka untuk memastikan PH tidak lagi menguasai pentadbiran di Johor.
Beliau turut berpandangan bahawa usaha menyingkirkan PH perlu diteruskan sehingga ke negeri-negeri lain serta di peringkat kerajaan Persekutuan.
“Harapan kita ialah Johor menjadi permulaan kepada usaha menyingkirkan Pakatan Harapan daripada pentadbiran negeri dan seterusnya di Putrajaya. Itu adalah matlamat yang kita perjuangkan,” katanya.