Klang – Timbalan Ketua Wanita BERJASA, Ustazah Umi Kalsom menyambut baik cadangan daripada Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bersatu Sarawak (PBB) dan juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang mencadangkan agar ketua keluarga membuat potongan gaji untuk membayar emolumen kepada ahli keluarga yang mengurus rumahtangga.
Ustazah Umi Kalsom berpandangan adalah lebih baik sekiranya kerajaan memfokuskan kepada pemerkasaan i-Sayang yang diperkenalkan oleh Kumpulan Simpanan Wang Persaraan (KWSP) sahaja. Namun begitu, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan madani sepatutnya lebih bersifat proaktif dalam membela nasib para suri rumah yang telah terbukti melahirkan modal insan untuk keluarga bahkan negara. Beliau dengan tegas menyatakan sepatutnya kerajaan memperuntukkan dana khas untuk memberi elaun kepada para suri rumah ini dan bukan hanya menggunakan wang tabungan suami untuk membela nasib para suri rumah.
“Satu cadangan yang bagus untuk menaikkan martabat suri rumah oleh kerajaan. Lagipun kerajaan sudah menyediakan inisiatif i-Sayang daripada Kumpulan Simpanan Wang Persaraan (KWSP) di mana 2% caruman syer pekerja yang diterima daripada majikan ke dalam akaun KWSP isteri (penerima). Tetapi sekali lagi, inisiatif ini datangnya daripada wang tabungan suami. Di mana peranan kerajaan dalam membantu nasib wanita yang bergelar suri rumah?”
“Jadi inisiatif i-Sayang ini belum mencukupi. Dengan perlaksanaan yang hanya bersifat pilihan, saya tidak merasakan projek ini dapat membantu banyak kepada kaum wanita terutamanya para suri rumah. Pemerkasaan harus dibuat demi keberkesanan projek ini. Dan kenyataan Nancy itu seakan mengulangi apa yang i-Sayang lakukan. Tiada yang baharu.”, tambah beliau dalam kenyataannya.
Beliau ketika dihubungi juga berkata, masyarakat kini tidak boleh lagi memandang rendah terhadap wanita yang memainkan peranan sebagai seorang suri rumah sepenuh masa.
Suri rumah kini juga memikul tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak-anak yang seterusnya akan membangunkan masyarakat yang sejahtera dan gemilang.
Beliau juga menambah, “Di dalam perundangan keluarga Islam, menjadi satu kewajiban kepada si suami yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk memberikan nafkah kepada isteri mereka walaupun isteri itu bekerja”.
“Jika suami mengingkari tuntutan itu, menjadi satu kesalahan dan dosa besar kepada seorang suami kerana dia telah mengabaikan tanggungjawab tersebut”, jelas beliau.
Terdahulu, cadangan Datuk Seri Nancy Shukri ini diutarakan di dalam ucapannya sewaktu menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad lepad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Cadangan ini diutarakan sebagai satu inisiatif untuk mengiktiraf pekerjaan tidak berbayar sebagai pekerjaan, antara lain bertujuan memperkasa ekonomi wanita.