Pada 3 April 2024, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024 yang bertujuan meminda Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Akta 370). Antara pindaan utama ialah pengurangan tempoh pemindahan wang tak dituntut (WTD) ke Akaun Amanah Disatukan daripada 15 tahun kepada 10 tahun.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, langkah ini diambil untuk membolehkan WTD dipindahkan lebih awal ke Akaun Hasil Disatukan, dengan anggaran jumlah RM1.98 bilion pada awal pelaksanaan.
Adakah Ini Petanda Wang Rakyat Sedang Dimanipulasi?
Pindaan ini menimbulkan tanda tanya ke atas keikhlasan kerajaan dalam menguruskan dana
yang secara asasnya milik rakyat. Dengan menyingkatkan pemindahan WTD ke Akaun Hasil
Kerajaan, ini seolah-olah satu kesempatan bagi menampung perbelanjaan kerajaan. Walaupun tuntutan terhadap WTD masih boleh dibuat selepas pemindahan, namun proses birokrasi yang rumit pasti menyukarkan rakyat untuk mendapatkan semula wang mereka.
Tambahan pula, tindakan ini mencerminkan pengurusan kewangan kerajaan yang
kurang cekap sehingga terpaksa memilih untuk bergantung kepada dana bukan milik kerajaan tetapi milik rakyat. Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak mempunyai perancangan kewangan yang bagus dan mengambil jalan pintas perolehan wang melalui pindaan akta ini.
Kembalikan Hak Rakyat, Bukan Manipulasi!
Ketua Penerangan Parti BERJASA, Saudara Hamdan Sharif menegaskan bahawa kerajaan perlu menghormati hak pemilik asal WTD dan memastikan bahawa wang tersebut dikembalikan kepada mereka dengan mudah tanpa halangan birokrasi. Kerajaan sepatutnya memperkenalkan mekanisme yang lebih efisien untuk mengesan pemilik WTD dan memaklumkan status mereka, bukannya mempercepatkan pemindahan wang tersebut ke dalam akaun kerajaan.
“Kerajaan digesa untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang lebih berhemah dan tidak bergantung kepada dana WTD untuk menampung perbelanjaan. Kerajaan perlu mencari sumber pendapatan yang sah dan tidak sesekali membuat cubaan mengambil jalan mudah dengan
menggunakan wang yang bukan milik mereka” katanya lagi.
BERJASA menerusi BINA2040 menyarankan bahawa adanya keperluan mendesak untuk menggubal “Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA)” bagi tadbir urus kewangan yang lebih baik. Cadangan ini bertujuan sebagai satu langkah yang akan memperkasakan pengurusan kewangan negara agar lebih telus dan tersusun serta dapat mengelakkan pindaan-pindaan akta seperti ini (Pindaan akta wang tidak dituntut) berulang lagi.