Pegawai Imigresen Ditahan dengan 12 Pasport: Adakah Integriti Hanya Sekadar Laungan?

Baru sahaja memberikan amanat tahun baharu 2025, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan negara berhasrat menegakkan prinsip ke arah kecemerlangan dan perpaduan serta membasmi rasuah. Prinsip ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab.

Namun, nampak gayanya amanat tersebut hanya sekadar laungan kosong apabila seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan selepas ditemui menyembunyikan 12 pasport asing di badannya. Penemuan ini menimbulkan persoalan serius tentang sejauh mana sistem integriti bagi penjawat awam dilaksanakan?

Isu ini bukan kali pertama kali timbul. Pada September 2024, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu, termasuk pegawai imigresen, kerana terlibat dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan laluan khas ‘counter setting’. Kaedah ini membolehkan warga asing masuk tanpa pemeriksaan ketat, dengan bayaran tertentu kepada pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket.

Persoalan lain yang sama penting pula timbul, adakah wujudnya sindiket haram yang memudahkan kemasukan warga asing tanpa kawalan?

Lebih mengejutkan, pada Ogos 2024, SPRM menahan 49 pegawai imigresen dan seorang anggota polis kerana didakwa bersekongkol dengan sindiket warga asing. Kegiatan ini menunjukkan betapa mudahnya jaringan rasuah dalam kalangan pegawai yang sepatutnya menjaga keselamatan pintu masuk negara.

Keselamatan Longgar Punca Warga Asing Mudah Masuk ke Malaysia?

Kes pegawai imigresen yang ditahan ini menguatkan lagi kebimbangan rakyat bahawa kelemahan dalam sistem penguatkuasaan sempadan menjadi punca utama kemasukan warga asing secara tidak sah.

Kelemahan dalam kawalan imigresen membuka ruang kepada perubahan drastik dalam demografi negara, mengancam kestabilan sosioekonomi, serta meningkatkan kadar jenayah. Data Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan bahawa antara 2016 hingga 2019, lebih 42,000 kes jenayah melibatkan warga asing telah direkodkan. Jika ini terus dibiarkan, kesan jangka panjang terhadap keselamatan dan ekonomi negara akan menjadi lebih serius.

Selain itu, pengaruh warga asing dalam sektor pekerjaan, perumahan, dan kebajikan sosial juga akan memberi tekanan kepada rakyat Malaysia. Jika pegawai imigresen sendiri boleh disogok untuk membenarkan kemasukan warga asing tanpa kawalan ketat, apa jaminan bahawa sistem ini masih berfungsi untuk melindungi kepentingan rakyat tempatan?

Pemerkasaan Institusi Perlu Disegerakan

BERJASA menyeru bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi membersihkan institusi imigresen daripada unsur rasuah dan ketidakcekapan.

Undang-undang imigresen dipinda untuk menutup kelemahan yang membolehkan eksploitasi dalam sistem imigresen dan penguatkuasaan sempadan. Jika tiada perubahan drastik dalam sistem kawalan sempadan dan integriti pegawai penguatkuasa, Malaysia akan terus menjadi sasaran sindiket yang membawa masuk warga asing tanpa kawalan.

Antara langkah yang harus diambil segera adalah pembersihan dalaman dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), termasuk pemindahan pegawai yang telah lama berkhidmat di lokasi strategik. Penggunaan teknologi pemantauan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem biometrik lebih ketat di kaunter imigresen. Pengukuhan perundangan, termasuk hukuman lebih berat bagi pegawai yang terlibat dalam penyeludupan manusia atau rasuah dalam imigresen. Peningkatan kawalan di pintu masuk negara, terutama di KLIA, Johor Bahru, dan pelabuhan utama yang sering menjadi laluan masuk sindiket warga asing.

Kemasukan Warga Asing Tanpa Kawalan: Ancaman Kepada Kedaulatan Negara

Kelemahan dalam sistem imigresen bukan sekadar isu kecil, tetapi boleh mengancam kedaulatan negara. Hal ini seiring dengan seruan dalam BINA2040 dalam pemerkasaan undang-undang untuk mencapai negara yang unggul dan berdaulat. Sekiranya, pegawai penguatkuasa yang sepatutnya menjaga sempadan negara sendiri boleh disogok, apakah jaminan Malaysia masih mempunyai kawalan penuh terhadap keselamatan dalam negeri?

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa ini bukan sekadar isu individu yang ditahan dengan 12 pasport, tetapi cerminan kepada masalah lebih besar dalam sistem imigresen negara. Jika kerajaan tidak segera bertindak, Malaysia akan terus menjadi ‘syurga’ bagi warga asing tanpa kawalan, sementara rakyat tempatan terus menanggung beban akibat kelemahan ini.

BERJASA menyeru kerajaan untuk berhenti berdiam diri dan mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan kedaulatan negara sebelum terlambat.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pembelian 28 Helikopter Bernilai RM16 Bilion: Pelaburan Strategik atau Pembaziran Dana Awam?

Next Post

Krisis Kebertanggungjawaban Ahli Politik, Rakyat Merana

Related Posts