Pembelian 28 Helikopter Bernilai RM16 Bilion: Pelaburan Strategik atau Pembaziran Dana Awam?

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan perolehan 28 unit helikopter melalui kontrak pajakan bernilai RM16 bilion untuk tempoh 15 tahun. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa pakej ini merangkumi penyelenggaraan menyeluruh, latihan untuk kira-kira 1,300 juruterbang dan kru penerbangan, pemindahan kemahiran kepada jurutera dan juruteknik, serta perlindungan insurans bagi aset dan kru.

Namun, persoalannya – adakah perbelanjaan sebesar ini benar-benar diperlukan? Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, adakah wajar kerajaan membelanjakan RM16 bilion untuk 28 helikopter, yang bermakna setiap helikopter menelan belanja hampir RM571 juta?

Pengurusan kewangan kerajaan sering mengalami ketidakpatuhan dan pembaziran, seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam satu audit rasmi, ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan telah menyebabkan pembayaran tidak teratur berjumlah RM1.299 bilion kerugian wang awam RM11.45 juta, serta pembaziran RM8.87 juta.

Maka, rakyat berhak bertanya, adakah kontrak pajakan RM16 bilion ini dibuat dengan ketelusan yang sewajarnya, atau ia hanya mengundang lebih banyak ketirisan dalam dana awam?

Pajakan vs. Pembelian Terus: Mana Lebih Berbaloi?

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa kaedah pajakan dipilih untuk mengatasi kekangan kewangan dan memastikan ketersediaan aset strategik negara berada pada tahap optimum. Melalui pajakan, kerajaan tidak perlu membayar pendahuluan atau perbelanjaan modal yang besar, sebaliknya bayaran dibuat secara bulanan mengikut penggunaan sepanjang tempoh 15 tahun.

Namun, adakah kaedah pajakan ini benar-benar lebih menjimatkan berbanding pembelian terus? Dalam jangka panjang, jumlah bayaran pajakan mungkin melebihi kos pembelian langsung, terutama jika mengambil kira faedah, kos penyelenggaraan, dan risiko pembatalan kontrak pada masa hadapan.

Sepatutnya perbelanjaan besar kerajaan mestilah selari dengan kepentingan rakyat, dan kerajaan perlu lebih bijak dalam menetapkan keutamaan dalam perbelanjaan negara. Dalam keadaan rakyat terbeban dengan kos sara hidup, adakah pajakan helikopter ini satu keperluan mendesak yang perlu didahulukan?

Dasar Perolehan dan Pemindahan Teknologi: Malaysia Masih Bergantung kepada Luar?

Melalui BINA2040, kerajaan Malaysia diseru untuk lebih mandiri dan tidak terlalu bergantung kepada sumber luar. Hal ini termasuklah pembelian aset pertahanan dari luar negara tanpa peralihan teknologi yang kukuh. Walaupun Dasar Keselamatan Negara menyebut tentang “keupayaan berdikari nasional”, majoriti senjata dan peralatan ketenteraan Malaysia masih dibeli dari luar kerana kelemahan dalam membangunkan industri pertahanan tempatan.

Pajakan helikopter ini menimbulkan persoalan adakah kerajaan sedang memastikan Malaysia membina keupayaan sendiri, atau sekadar terus bergantung kepada syarikat asing tanpa sebarang pemindahan teknologi?

Jika tiada usaha untuk memperkasa industri pertahanan tempatan, Malaysia akan terus menjadi pengguna teknologi asing tanpa kemampuan menghasilkan aset strategik sendiri.

BERJASA: Utamakan Keperluan Rakyat, Bukan Pembelian Berlebihan

BERJASA menegaskan bahawa dalam situasi ekonomi semasa, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan besar. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada kesejahteraan rakyat, seperti meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan, dan mengurangkan kos sara hidup.

Pengurusan dana awam memerlukan ketelusan tinggi untuk mengelakkan ketirisan dan pembaziran. Pembelian aset ketenteraan yang mahal perlu disertai dengan justifikasi kukuh dan analisis kos manfaat yang jelas kepada rakyat. Jika tidak, perbelanjaan ini hanya akan menjadi satu lagi projek mega yang akhirnya tidak memberi impak positif kepada negara.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sarawak Diminta Bekalkan Elektrik ke Filipina: Kepentingan Rakyat Malaysia Diketepikan?

Next Post

Pegawai Imigresen Ditahan dengan 12 Pasport: Adakah Integriti Hanya Sekadar Laungan?

Related Posts