Shah Alam – Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di enam buah negeri baru-baru ini baharu sahaja tamat dan menampakkan pengekalan status quo bagi setiap parti di semua negeri tersebut.
Namun, suhu politik usai tamat PRN tidak tamat dengan begitu sahaja apabila veteran parti DAP iaitu Tan Sri Lim Kit Siang telah mengeluarkan kenyataan bahawa sebaiknya parti MUDA bergabung dan menyertai DAP setelah melihat semua calon MUDA yang bertanding pada PRN kali ini tewas.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan dalam laman Facebook miliknya berkata, kenyataan yang diberikan oleh veteran DAP ini seakan menampakkan DAP sebenarnya amat ketandusan pemimpin muda yang berbakat untuk menarik undi orang Melayu.
Hal ini jelas dapat dilihat apabila pengundi Melayu pada PRN kali ini telah memberikan isyarat jelas dengan menolak pakatan PH-BN dengan memlilih PN yang membawa imej perjuangan hak orang-orang Melayu.
“Syed Saddiq yang merupakan Presiden MUDA dikenali oleh ahli politik dan rakyat dengan kelantangan beliau bersuara mengenai isu semasa sehingga mampu mempengaruhi sebahagian anak muda. Maka saya tidak hairan apabila Lim Kit Siang cuba menawarkan MUDA untuk bergabung dengan DAP”.
“Saya benar-benar menginsafi jika MUDA menerima tawaran DAP tersebut kerana saya lihat DAP hanya ingin mengambil peluang dengan apa segmen penyokong yang MUDA miliki iaitu anak muda. Nasihat saya adalah cukup Syed Saddiq bergerak dengan partinya sahaja tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti”, tegas beliau.
Dalam PRN yang baharu sahaja melabuhkan tirainya lalu, corak pengundian yang diterjemahkan oleh pengundi Melayu jelas menolak pakatan yang dibuat oleh PH-BN kerana stigma terhadap parti DAP masih tebal dan memilih PN yang dilihat lebih mewakili orang Melayu.
Keputusan yang mengejutkan berlaku di Selangor apabila berlakunya penurunan kerusi milik PH setelah dirampas oleh PN terutamanya di Sungai Kandis, Taman Medan, Semenyih, Gombak Setia dan Sungai Ramal. Terengganu pula memperlihatkan penolakan penuh pengundi Melayu terhadap PH-BN setelah PAS menyapu bersih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan keputusan 32-0.