Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Monash Universiti, Prof Datuk Dr Adeeba Kamaruzaman, berkata pertumbuhan pesat universiti menyebabkan kepakaran dalam bidang berkenaan merosot.
Beliau juga berkata Malaysia mempunyai terlalu banyak universiti sehingga menyukarkan tumpuan untuk membangunkan bidang tertentu yang boleh membantu negara. Ini satu kenyataan yang merepek dan menampakkan beliau seakan tidak faham tentang akar masalah yang sebenarnya berlaku kepada kemerosotan kepakaran di universiti.
Jika ingin dibandingkan dengan negara-negara luar seperti England, Itali, Jerman dan Amerika Syarikat, mereka mempunyai lebih banyak universiti berbanding negara kita yang hanya mempunyai 80 buah universiti. England mempunyai 160 buah universiti, Itali dengan 92 buah universiti, Jerman dengan 70 buah universiti dan Amerika Syarikat dengan 4,000 buah universiti. Amerika Syarikat dan England mempunyai bilangan universiti yang begitu banyak namun masih mampu mewujudkan universiti yang hebat dalam kepakaran masing-masing dalam bidang falsafah, perubatan dan ekonomi.
Jelas di sini bahawa bilangan universiti yang banyak bukan alasan kepada merosotnya kepakaran sesuatu universiti itu. Prof Datuk Dr Adeeba Kamaruzaman sepatutnya tahu bahawa punca kepada masalah ini sebenarnya datang daripada sistem yang dirangka untuk institut pengajian tinggi (IPT) kita.
Semalam telah keluarnya satu laporan akhbar yang melaporkan begitu ramai pensyarah di IPT memilih untuk bersara awal kesan daripada bebanan yang begitu berat perlu dipikul oleh mereka. Penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang tidak munasabah kepada para pensyarah ini telah mengganggu fokus mereka untuk bertugas dengan cemerlang.
Akibatnya, Malaysia akan kehilangan ramai tenaga pakar di IPT kerana ramai yang mengangkat kaki daripada dunia akademik. Maka secara logiknya sesebuah universiti itu tidak akan mampu untuk mengangkat kepakaran dalam bidang yang diceburi apabila hilangnya tonggak utama mereka iaitu pensyarah itu sendiri.
Beliau patut sedar dan faham bahawa kepakaran itu bersifat manusiawi bukannya pada institusi mahupun mesin. Mengurangkan ataupun menggabungkan beberapa universiti mengikut kepakaran tertentu tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini.
Lebih elok rasanya jika beliau melontarkan idea yang menyentuh isu tentang 30,000 pensyarah berdepan tekanan dan gaji pensyarah yang tidak setimpal kerana kebajikan mereka amat penting jika mempunyai hasrat ingin menaikkan nilai kepakaran universiti di Malaysia.