Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mengatakan bahawa cukai GST adalah cukai yang terbaik dan sistematik namun tidak bercadang untuk melaksanakannya dalam tempoh yang terdekat atas sebab pelaksanaan gaji minimum belum mencapai RM3,000.
Namun begitu, beliau dalam pembentangan Belanjawan 2025 ada memperkenalkan pelbagai cukai baharu seperti cukai dividen, meluaskan perlaksanaan cukai SST, cukai minimum global (GMT) dan cukai minuman bergula.
Malahan penyasaran subsidi juga ingin diperkenalkan oleh kerajaan dengan alasan mahu mengelakkan ketirisan hasil pendapatan negara dinikmati oleh warga asing dan golongan “mahakay” yang gemar disebut oleh beliau.
Pengenalan cukai baharu, perluasan cukai progresif SST dan penyasaran subsidi ini menunjukkan tanda-tanda bahawa negara sebenarnya kekurangan kutipan hasil daripada cukai setelah pemansuhan cukai GST.
Hal ini disokong dengan kenyataan mantan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri pada tahun 2020 yang mengatakan pungutan cukai GST sebanyak RM44 bilion manakala cukai SST hanya RM21 bilion.
Maka sudah jelas pemanushan cukai GST adalah satu kesilapan yang besar untuk ekonomi negara hinggakan kerajaan terpaksa mengambil langkah yang tidak popular untuk meluaskan lagi perlaksanaan cukai yang lain.
Adakah Kerajaan Terlalu Ego Untuk Laksanakan Kembali Cukai GST?
Cukai GST ataupun nama penuhnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax) adalah sejenis cukai penggunaan berasaskan nilai tambah yang dikenakan ke atas hampir semua barang dan perkhidmatan di peringkat pengeluaran dan pembekal.
GST sepatutnya menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di beberapa negara kerana ia dianggap lebih telus dan efisien dalam menguruskan kutipan cukai.
Cukai ini lebih telus dan diyakini mampu mengelakkan ketirisan berlaku kerana ia beroperasi berdasarkan mekanisme cukai nilai tambah di mana ia dikenakan ke atas setiap peringkat rangkaian bekalan bermula dari pengeluar hingga kepada pengguna akhir.
Peniaga dibenarkan untuk menuntut kredit bagi cukai yang telah dibayar ke atas pembelian input mereka dan ini dinamakan sebagai “input tax credit“.
Hal ini bermakna mereka hanya dikenakan cukai ke atas nilai yang ditambah oleh mereka bukannya ke atas keseluruhan harga jualan.
Ini jelas berbeza dengan cukai SST yang mana perlaksanaannya kurang tekus jika dibandingkan dengan GST.
Dengan SST, pengguna tidak dapat mengetahui jumlah cukai yang mereka bayar kerana ia dimasukkan ke dalam harga barangan atau perkhidmatan maka ia berbeza dengan GST yang telus dalam menunjukkan jumlah cukai.
Selain itu, harga barang melalui perlaksanaan SST mungkin lebih mahal jika terdapat lapisan kos diserap dalam sistem SST kerana cukai dikenakan pada peringkat awal, tidak seperti GST di mana cukai input boleh dituntut semula oleh perniagaan.
Begitu jelas perbezaannya antara SST dan GST namun kerajaan masih bersikap sombong dan ego apabila terus mempertahankan SST.
Mungkin mereka merasa malu untuk melaksanakan semula GST setelah begitu rancak dahulunya mereka membantah dan berdemonstrasi untuk membantah GST ketika di bawah pentadbiran Dato Seri Najib Razak.
Jika mereka melaksanakan kembali GST, ia akan memberikan tamparan kepada mereka kerana melaksanakan perkara yang mereka bantah dahulu sedangkan GST adalah formula yang terbaik untuk ekonomi negara setakat ini.