Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Dilebarkan Laluan Bermula 2025, Bagaimana Dengan Nasib Hidupan Liar Di Hutan Sana?

hidupan liar

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan dilebarkan laluannya bermula Januari 2025 seperti yang diberitahu oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin yang lepas namun timbul persoalan mengenai apakah nasib hidupan liar di sana.

Projek pelebaran lebuh raya ini dijangka akan mengambil masa empat tahun untuk siap sepenuhnya iaitu pada 2029 dan kini pihak syarikat konsensi sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk projek berkenaan sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak.

Persoalan mengenai nasib hidupan liar di hutan kawasan sana wajar dibahas kerana antara skop kerja pelebaran Lebuhraya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah) dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong).

Pelebaran ini semestinya memerlukan pihak syarikat konsensi menarah hutan dengan kawasan yang luas sehingga dikhuatiri menjejaskan habitat hidupan liar di sana.

Memang diakui projek pelebaran ini dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya KLK seterusnya mendatangkan kebaikan kepada pengguna lebuhraya namun kesan sampingan terhadap hidupan liar di sana perlu difikirkan juga oleh kerajaan.

Banjaran Titiwangsa Adalah Habitat Besar Untuk Hidupan Liar Di Malaysia

Kerajaan sepatutnya peka dengan nasib hidupan liar di kawasan sana kerana Lebuhraya KLK terletak di Banjaran Titiwangsa yang merupakan salah satu kawasan habitat penting untuk hidupan liar di Semenanjung Malaysia.

Banjaran Titiwangsa ini dikenali sebagai “tulang belakang” Semenanjung kerana hutan tropika di sepanjang banjaran ini membentuk koridor ekologi utama bagi banyak spesies terutama spesies terancam.

Banjaran ini meliputi hutan hujan tropika luas yang merupakan ekosistem paling kaya dengan kepelbagaian biologi di Malaysia.

Ia menghubungkan beberapa kawasan hutan simpan utama seperti Hutan Simpan Royal Belum, Taman Negara dan Hutan Simpan Krau dan menjadikan ia sebagai habitat penting untuk pelbagai spesies seperti harimau Malaya, gajah Asia, tapir Malaya dan banyak lagi.

Selain itu, banjaran ini turut menyediakan koridor yang menghubungkan hutan-hutan utama membolehkan hidupan liar bergerak bebas dan selamat dari satu kawasan ke kawasan lain.

Semestinya impak daripada projek pelebaran lebuhraya ini terhadap hidupan liar tidak boleh dibayangkan memandangkan kawasan itu menempatkan pelbagai spesies haiwan yang terancam.

Kerajaan Perlu Komited Melindungi Spesies Haiwan Yang Terancam

Sebelum ini pada Mei 2024 dilaporkan mengenai seekor harimau belang yang mati dipercayai dilanggar sebuah kereta di Lebuhraya KLK.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa kawasan di sekitar Lebuhraya KLK sememangnya merupakan kawasan habitat untuk harimau Malaya dan mungkin berdepan ancaman habitat yang besar setelah bermulanya projek pelebaran lebuhraya ini.

Populasi harimau Malaya semakin terancam dan menurut laman web Harimau.my melaporkan bahawa populasi spesies haiwan ini kurang daripada 150 ekor.

Sungguh menyedihkan jika haiwan yang terpampang penuh bangga di jata negara Malaysia ini semakin berkurang populasinya dan terus pupus akibat kerakusan tangan manusia.

Bukan sahaja harimau Malaya malahan spesies haiwan lain juga perlu dijaga bagi memastikan ekosistem hutan negara kekal terjaga.

Kerajaan boleh meneruskan pelebaran Lebuhraya KLK ini namun perlu menitikberatkan soal penjagaan alam sekitar terutamanya hidupan liar yang tinggal di kawasan projek tersebut.

Kerajaan boleh membina laluan haiwan di bawah jalan lebuhraya ini bagi dijadikan sebagai laluan untuk hidupan liar terutamanya harimau Malaya melintas jalan.

Laluan ini dapat mengelakkan daripada mereka dilanggar seperti mana yang berlaku sebelum ini sehingga mengorbankan nyawa mereka.

Sudah sampai masanya kerajaan perlu berfikir secara cermat untuk menjaga kelestarian alam sekitar di Malaysia memandangkan spesies hidupan liar kini semakin terancam.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
gas ngv

Sudahlah Susah Dapat Pelanggan, Pemandu Teksi Pening Isu Gas NGV

Related Posts