BERJASA melahirkan rasa kecewa dengan pelantikan barisan jamaah menteri yang diumumkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. YAB Perdana Menteri melalui sidang akhbarnya pada 27 November 2022 yang lalu berkata akan melantik menteri kabinet yang komited demi membaiki mutu pentadbiran negara dan memerangi rasuah. Beliau juga telah berjanji bahawa pemilihan menteri bukan lagi dijadikan sebagai hadiah buat parti yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.
Namun dalam pengumuman semalam, Presiden UMNO, Dato’ Seri Zahid Hamidi telah diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Hal ini bertentangan dengan prinsip integriti yang sering dilaungkan PH dan PM10 sendiri, sekaligus memberikan gambaran bahawa kerajaan tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan tidak mempunyai pendirian yang tetap.
Pelantikan ini juga memberi isyarat bahawa kerajaan yang dibentuk sebenarnya tidak stabil. Sokongan Dato’ Seri Zahid Hamidi dan UMNO dilihat amat penting untuk survival kerajaan DSAI, menyebabkan tangannya terikat dalam membuat keputusan-keputusan penting negara termasuk melantik timbalannya sendiri.
Hal ini juga bercanggah dengan janji beliau yang jawatan menteri tidak akan lagi digunakan sebagai habuan untuk mendapat sokongan pihak atau parti tertentu.
Portfolio Menteri Kewangan yang kini dipegang oleh DSAI juga menimbulkan persoalan tentang pendirian PH terutamanya Rafizi Ramli terhadap pemisahan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Pendirian ini penting dalam memastikan pengurusan kewangan melalui proses semak dan imbang supaya ianya berlaku secara telus dan tidak berat sebelah.
Beberapa nama tokoh seperti Dato’ Johari dan Dr Dzulkefly juga menimbulkan tanda tanya adakah pemilihan kali ini benar-benar berdasarkan merit, kelayakan akademik dan pengalaman seseorang untuk memimpin satu-satu kementerian.
Apa yang pasti, kabinet ini dilihat sebagai kabinet penyokong DSAI melebihi kabinet yang dibentuk berdasarkan kebolehan dan pengalaman kerja secara profesional setiap menteri. Kabinet ini juga tidak dapat menonjolkan kredibiliti PM10 dan PH dalam mengotakan janji-janji mereka seawal pelantikan jemaah menteri.
Walau bagaimanapun, BERJASA mengucapkan selamat bertugas kepada semua menteri yang telah dilantik dan berikrar untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
BERJASA akan terus memantau prestasi setiap menteri dalam kerajaan DSAI agar kepentingan negara sentiasa terjaga, terutamanya perkara-perkara berkaitan integriti, ketelusan, keadilan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam.