KUANTAN – Perdebatan mengenai status kumpulan yang menjalankan aktiviti ‘perkebunan’ durian di daerah Raub, Pahang telah terjawab apabila mereka diarahkan untuk membayar RM100,000 kepada setiap responden. Selain diarahkan untuk membayar denda, mereka juga ditolak hak untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.
Hal ini secara jelas menunjukkan bahawa mereka ini adalah penceroboh hutan Raub bukannya pekebun durian yang sah di Raub. Selepas segala dakwaan palsu yang kononnya mereka mempunyai hak penuh terhadap aktiviti perkebunan durian di Raub, akhirnya Mahkamah Tinggi Kuantan sendiri mengesahkan mereka sebagai penceroboh.
Antara alasan kukuh yang menguatkan hujah pihak hakim ialah mereka mendapati penceroboh ini tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.
Penceroboh terlibat juga tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
Kumpulan penceroboh itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari Kuantan, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.
Sebanyak 110 penceroboh memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos 2020, manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 Sept tahun sama dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.
Tindakan pencerobohan secara meluas ini dikhuatiri juga mendatangkan impak yang tidak baik kepada alam sekitar seperti mana yang berlaku di Cameron Highlands apabila tanah runtuh berlaku disebabkan oleh struktur tanah yang tidak kukuh hasil pembukaan kebun sayur secara haram.
Dalam pada itu, peguam mewakili plaintif, Siew Choon Jern berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun terlibat sebelum memutuskan sama ada akan menfailkan rayuan atau tidak.