Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah melahirkan kebimbangan mengenai caj hospital swasta yang meningkat akibat daripada kadar inflasi perubatan.
Beliau menegaskan caj hospital swasta yang mahal ini akan memberi kesan kepada rakyat seterusnya akan mewujudkan keadaan di mana mereka ini akan mengelak untuk mendapatkan rawatan ketika sakit.
Dakwaan peningkatan caj ini dilihat ada benarnya kerana sebelum ini Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan bahawa Malaysia pernah mencatatkan kadar inflasi kos perubatan sebanyak 12.6% pada 2023 melebihi purata global sebanyak 5.6%.
Susulan daripada isu ini, seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan PAC perlu memanggil Persatuan Insurans Hayat Manusia (LIAM) dan syarikat pengendali hospital swasta.
Ahli PAC tersebut iaitu Sim Tze Tzin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bayan Baru mengakui cadangan untuk memanggil pihak terbabit adalah baik dan akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa PAC untuk langkah susulan.
Caj Hospital Swasta Naik, 12.9% Rakyat Malaysia Elak Dapatkan Rawatan
Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, hal ini tidak boleh dinafikan ada juga sebahagian rakyat Malaysia yang terpaksa memilih hospital swasta atas faktor keselesaan.
Golongan ini biasanya terdiri daripada M40 yang sering dikenali sebagai golongan yang tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan walaupun pendapatan isi rumah mereka tidak seberapa.
Kajian yang dilaporkan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan kira-kira 12.9% rakyat Malaysia telah menahan diri daripada mendapatkan rawatan perubatan kerana faktor kewangan sepanjang tahun lalu.
Antara faktor yang didapati daripada kajian ini ialah rawatan yang terlalu mahal, tidak mampu beli ataupun kekurangan wang.
Kajian ini juga menyatakan bahawa terdapat banyak aduan orang ramai mengenai kesesakan dan masa menunggu yang lama di hospital awam menyebabkan penurunan dalam penggunaan kemudahan kerajaan daripada daripada 64.2% pada 2019 kepada 48.9% pada 2023.
Hal ini bermakna berlakunya peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta namun muncul pula masalah apabila caj hospital swasta meningkat.
Golongan yang mampu mungkin tiada masalah untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta namun sebaliknya bagi golongan yang kurang berkemampuan.
Sebahagian rakyat Malaysia akan berasa terperangkap kerana hospital awam tidak mampu memberikan rawatan yang memuaskan untuk mereka tetapi hospital swasta pula mengenakan caj yang mahal.
Seeloknya kerajaan duduk bersama untuk menyelesaikan isu ini memandangkan tidak lama lagi Malaysia bakal menuju negara tua pada tahun 2030.
Hal ini pastinya akan menjadikan sektor kesihatan sebagai sektor terpenting untuk Malaysia ketika memiliki ramai warga emas pada masa akan datang.