Memiliki rumah adalah idaman untuk semua orang terutamanya rumah mewah namun ramai yang telah terperangkap dengan hutang jahat apabila tidak mampu membayar hutang rumah dalam tempoh pinjaman rumah maksimum selama 30 tahun.
Menurut laporan Berita Harian bertarikh 1 Februari 2023, Jabatan Insolvensi melaporkan 4,653 kes bankrap akibat pinjaman perumahan yang menjadikan keempat terbesar selepas pinjaman peribadi (20,754 kes), sewa beli kenderaan (7,072 kes) dan pinjaman perniagaan (6,936 kes).
Hal ini menunjukkan bahawa mereka mungkin hanya mampu memiliki rumah itu tetapi tidak mampu membayar hutang rumah tersebut dalam tempoh yang agak lama.
Namun begitu, kerajaan sekarang datangkan idea yang tidak masuk akal dengan mahu memanjangkan tempoh bayaran pinjaman perumahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 berkata Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan memperkenalkan skim kewangan perumahan belia bagi membolehkan penjawat awam golongan itu memohon pinjaman perumahan dengan tempoh sehingga 40 tahun.
Tempoh Pinjaman Perumahan Yang Panjang Akan Memerangkap Penghutang
Pengurus kewangan bertauliah dari Ringgit Minded, Kelvin Goh berpendapat skim ini bukan sahaja memerangkap peminjam malahan hanya memberi keuntungan kepada pemaju dan sektor perbankan.
Kenyataan ini juga disokong oleh Chang Kim Loong iaitu Setiausaha Agung Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah yang mengatakan peminjam akhirnya akan membayar lebih tinggi faedah.
Peminjam yang berminat mungkin akan tergiur dengan tawaran skim ini yang menawarkan tawar bayaran bulanan yang lebih rendah.
Namun peminjam tidak akan sedar dengan perangkap hutang skim ini apabila bayaran pinjaman ini akan dipindahkan kepada anak-anak mereka yang dikenali sebagai “pinjaman generasi kedua” pula selepas peminjam meninggal dunia.
Keadaan ini akan membebankan anak-anak mereka yang terpaksa mewarisi hutang yang mereka tidak mahukan dan akhirnya mengehadkan kebebasan kewangan mereka sedangkan mereka sebenarnya tidak mampu.
Tambahan pula, golongan pesara juga tidak boleh menikmati wang pencen mereka dengan tenang apabila terpaksa menanggung hutang rumah mereka.
Maka hal ini boleh dikatakan bahawa cadangan ini hanya memenangkan golongan kapitalis sahaja dan membiarkan golongan marhaen iaitu rakyat untuk terus terkapai-kapai dalam perangkap hutang.
Skim ini bukan solusi yang baik melainkan hanya peluang untuk pihak kapitalis membolot keuntungan yang lebih banyak.