BANGI – Pemuda BERJASA menggesa kerajaan menyatakan pendirian jelas dalam isu nasib penduduk Gaza yang diserang berterusan tanpa sifat kemanusiaan oleh tentera rejim pengganas Zionis sejak 7 Oktober lalu.
Ketua Pemudanya, Fahmi Bazlan membuat desakan itu susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata, isu pokok kepada Palestin adalah mengeluarkan rakyatnya dari tanah Gaza yang sedang dikepung dan perkara itu dilakukan Perdana Menteri ketika ini.
Fahmi berkata, melalui pendedahan Menteri KDN juga, ia seolah-olah sudah mula menunjukkan jiwa sebenar dengan mengiktiraf Israel dan menafikan tanah Palestin yang berdaulat.
“PMX perlu ikuti perkembangan terkini di Gaza bahawa rakyat Gaza 2.2 juta penduduknya sudah pun berikrar untuk tidak akan berganjak dan teguh berdiri di belakang perjuangan Al-Qassam dan Hamas.
“Mereka adalah satu-satunya harapan untuk tanah wakaf milik umat Islam ini merdeka. Apa nilai pengorbanan mereka yang syahid sejak 75 tahun 5 juta rakyat Palestin di bunuh. Berdiam diri dan menyerah kepada percaturan Israel adalah tindakan bacul yang memalukan.
“Kerajaan perlu lebih tegas dan mempunyai pendirian yang jelas dalam soal ini,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.
Beliau menyatakan kebimbangan itu kerana sebarang persetujuan terhadap rancangan pemindahan lebih dua juta rakyat Gaza ke penempatan Semenanjung Sinai adalah bibit normalisasi dengan negara penjenayah Israel.
Katanya, ia menjadi lebih sensasi apabila dokumen rancangan pemindahan ini terdedah kepada umum, bukan sahaja menjadi perancangan Israel merampas secara sepenuhnya bumi Palestin.
Bahkan, tindakan itu adalah usaha memusnahkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan seluruh perjuangan umat Islam membebaskan Palestin.
“Merujuk dokumen itu, pengusiran itu tidak akan memungkinkan lagi mereka untuk kembali dan Israel akan memulakan pembangunan dunia baru Israel di atas runtuhnya perjuangan umat Islam Palestin membebaskan tanah berdaulat apatah lagi di situ letaknya bumi Al-Quds, Al-Aqsa tercinta,” katanya.
Terdahulu, portal berita Israel melaporkan wujudnya dokumen 10 muka surat bertarikh 13 Oktober disediakan oleh Kementerian Perisikan Zionis.
Dokumen itu menilai tiga pilihan mengenai masa depan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dalam rangka perang semasa, dan mengesyorkan pemindahan penuh penduduk sebagai tindakan pilihan.
Dokumen itu mengesyorkan supaya Israel bertindak mengusir penduduk awam ke Sinai semasa perang; menubuhkan bandar khemah dan kemudiannya lebih banyak bandar kekal di utara Sinai yang akan menyerap penduduk yang diusir.
Selain itu, ia mahu mewujudkan zon steril beberapa kilometer dalam Mesir, dan menghalang kembalinya penduduk ke aktiviti/kediaman berhampiran sempadan dengan Israel.
Ia turut mengusulkan agar rancangan itu mendapat sokongan penuh masyarakat antarabangsa. – Ismaweb