Bangi – Belum pun banjir di negeri Pantai Timur reda, negara dikejutkan pula dengan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar Lembah Klang termasuk ibu kota, semalam.
Namun agak menyedihkan, tiada permohonan maaf, kenyataan kesal mahupun arahan tegas bagi pihak berautoriti menyiasat punca sebenar kejadian itu dan mengeluarkan hasil kajian dalam tempoh 24 jam.
Bahkan, di laman akaun Facebook dan Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuma mengeluarkan arahan menyelamat dan juga mendoakan keselamatan seluruh keluarga Malaysia yang terjejas, kata Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim.
“Beliau hanya menyatakan kementerian dan agensi terlibat akan mengambil langkah segera, tapi tidak dinyatakan apakah tindakan tersebut? Dan bilakah ia mesti diselesaikan?
“Rakyat pun tertanya-tanya kementerian dan agensi apa? Kementerian Wilayah Persekutuan? Kementerian Kerjaraya? Kementerian Alam Sekitar dan Air? JPS? DBKL?” soalnya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Lukman berkata, tindakan menyalahkan hujan lebat yang berterusan adalah suatu tindakan kurang bijak.
Katanya, ia ibarat anjing menyalak bukit kerana Malaysia memang amat terkenal sebagai negara khatulistiwa yang menerima hujan lebat terutama pada musim-musim tertentu.
“Pasti ada permasalahan pokok (root cause) yang cuba diselindung. Benar, puncanya mungkin telah bermula 10 atau 15 tahun dahulu sebelum beliau menjadi PM, tapi kenyataan yang dikeluarkan jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan yang amat mengecewakan.
“Saya juga cuba mencari kenyataan dari menteri-menteri atau ketua agensi lain yang berkaitan. Kosong! Ketika kita merasakan skop tugas antara beberapa kementerian dan agensi bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di kawasan bandar ini bertindih (overlap) rupa-rupanya tiada siapa pun yang ambil peduli!” bidasnya.
Sumber – Ismaweb