SEREMBAN, 17 Jun 2026 — BERJASA bersiap siaga untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan agenda penyatuan Melayu melalui medan pilihan raya.
Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim, berkata sasaran itu bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi membuktikan kesiapsiagaan parti
“Kita tidak melihat penyertaan ini semata-mata dalam konteks menang atau kalah, tetapi sebagai usaha membawa mesej penyatuan Melayu serta menawarkan budaya politik yang lebih baik dan baharu kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera BERJASA Negeri Sembilan semalam.
Menurut Zamani, 15 kerusi yang dikenal pasti mencerminkan tahap kesiapsiagaan jentera dan calon parti bagi menghadapi PRN yang dijangka berlangsung pada Ogos depan.
Beliau berkata BERJASA turut bersedia berbincang dan bekerjasama dengan pihak yang berkongsi matlamat memperkukuh politik Melayu-Islam.
“Kami tidak hadir untuk memecahkan undi. Sebaliknya, kami hadir dengan semangat untuk menyumbang kepada usaha penyatuan dan memperjuangkan kepentingan bangsa, agama serta negara,” katanya.
Penyatuan bukan sekadar slogan
Mengulas lanjut, Zamani berkata agenda penyatuan Melayu perlu diterjemahkan melalui tindakan politik yang nyata, bukan sekadar slogan.
Menurutnya, BERJASA telah lama membawa gagasan tersebut dan melihat pilihan raya sebagai salah satu ruang penting untuk merealisasikannya.
“Objektif penyatuan Melayu tidak boleh sekadar ditulis atas kertas atau dilaungkan dalam ucapan. Ia perlu diusahakan melalui percaturan yang strategik, termasuk dalam medan pilihan raya,” katanya.
Beliau berpendapat pelbagai isu yang membabitkan kepentingan Melayu-Islam ketika ini memerlukan kesungguhan politik yang lebih kuat daripada semua pihak.
Hargai kehadiran PAS
Dalam pada itu, Zamani menyambut baik kehadiran ADUN Paroi, YB Hj Kamarul Ridzuan bin Mohd Zain dan juga Ketua Pemuda PAS, Tuan Muhammad Irsyaduddin b Mohd Fadzil pada majlis pelancaran jentera parti berkenaan.
Katanya, kehadiran itu mencerminkan hubungan kedua-dua parti yang berteraskan persefahaman, bukan persaingan semata-mata.
Beliau turut memaklumkan BERJASA akan menggerakkan jenteranya di Johor bagi membantu kempen Perikatan Nasional.
“Kita menghargai setiap ruang perbincangan dan kerjasama yang boleh membawa kepada penyatuan yang lebih besar,” katanya.
Seru tamatkan pentadbiran PH
Pada masa sama, Zamani menyeru pemimpin Melayu-Islam mengutamakan agenda penyatuan berbanding perbezaan politik.
Beliau berkata usaha tersebut penting bagi mewujudkan perubahan politik di Negeri Sembilan.
“Sudah tiba masanya semua pihak yang berkongsi aspirasi yang sama mencari titik persamaan dan bekerjasama demi masa depan bangsa dan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi memilih calon yang mampu memajukan Negeri Sembilan tanpa mengabaikan identiti masyarakat setempat.