KUALA LUMPUR, 8 Jun — Parti BERJASA menegaskan bahawa isu Rohingya perlu dilihat melalui dua dimensi berbeza iaitu tanggungjawab umat Islam membantu saudara seakidah yang dizalimi dan tanggungjawab kerajaan mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
Naib Presiden BERJASA, Ir. Ts. Khoushaini berkata, kegagalan membezakan kedua-dua aspek tersebut menjadi punca kepada polemik berpanjangan dalam kalangan masyarakat, khususnya di media sosial.
Menurut beliau, krisis Rohingya kini turut memberi kesan langsung kepada Malaysia yang menempatkan pelarian Rohingya terbesar di rantau ini.
Katanya, Malaysia kini menempatkan lebih 126,000 Rohingya dan lebih 210,000 pelarian serta pencari suaka
“Isu ini bukan lagi sekadar soal kemanusiaan, tetapi turut melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Bantu Rohingya Sebagai Saudara Seakidah
Khoushaini berkata, Islam mengajar bahawa setiap Muslim adalah bersaudara tanpa mengira bangsa, bahasa atau latar belakang geografi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa membantu umat Islam Rohingya yang dizalimi merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh dipertikaikan.
Menurutnya, bantuan boleh disalurkan melalui NGO dan badan kebajikan sah serta meningkatkan kesedaran mengenai nasib Rohingya
Beliau turut menggesa umat Islam mendoakan keselamatan Rohingya dan berakhirnya kezaliman di Myanmar
Penguatkuasaan Mesti Konsisten
Dalam masa sama, BERJASA mempersoalkan peningkatan PATI Rohingya meskipun pelbagai operasi penguatkuasaan dijalankan.
Khoushaini mengakui kerajaan telah mengisytiharkan tahun 2025 sebagai “tahun penguatkuasaan” dengan pelaksanaan operasi terbesar dalam tempoh lebih sedekad.
Namun beliau mempersoalkan sama ada penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten atau hanya ketika isu menjadi perhatian.
“Rakyat berhak mengetahui mengapa tekanan sosial yang berpunca daripada lambakan PATI masih berlaku walaupun operasi penguatkuasaan dipertingkatkan,” katanya.
DPP Tidak Wajar Jadi Laluan Pemastautinan Kekal
Mengulas mengenai pengurusan pelarian, Khoushaini berkata soal pendaftaran pelarian adalah isu kedaulatan yang perlu dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.
Menurut beliau, sistem yang bergantung kepada UNHCR menimbulkan persoalan mengenai ketepatan data dan penyalahgunaan dokumen.
Beliau bagaimanapun mengambil maklum pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) berasaskan biometrik yang mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu sebagai usaha kerajaan mendapatkan semula kawalan terhadap pengurusan pelarian.
“Namun DPP tidak boleh dijadikan pintu masuk kepada kemastautinan tetap dan keputusan Malaysia untuk tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 serta Protokol 1967 adalah hak berdaulat yang perlu dipertahankan,” katanya.
Malaysia Perlu Lebih Tegas di Peringkat Antarabangsa
Khoushaini turut menyentuh prosiding Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes yang difailkan oleh Gambia terhadap Myanmar bagi pihak 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia.
Beliau berkata hujah utama kes tersebut telah didengar pada Januari lalu dan keputusan dijangka diumumkan pada penghujung tahun ini.
Walaupun mengalu-alukan usaha tersebut, beliau berpandangan tindakan di peringkat ICJ dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) masih bergerak perlahan.
“Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif melalui ASEAN dan OIC untuk memberi tekanan diplomatik yang berkesan terhadap Myanmar, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan simpati,” katanya.
Fokus Kepada Penyelesaian Di Myanmar
Menurut Khoushaini, penyelesaian sebenar terhadap krisis Rohingya mesti berlaku di Myanmar menerusi proses pemulangan yang selamat, bermaruah dan terjamin apabila keadaan mengizinkan.
Beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan penempatan kekal di Malaysia perlu dinilai berdasarkan undang-undang negara dan tidak boleh dilaksanakan secara automatik atas dasar simpati semata-mata.
Sehubungan itu, BERJASA menggesa kerajaan memperkukuh kawalan sempadan maritim secara berperikemanusiaan tetapi tegas, merangka pelan pemulangan yang jelas, memperhebat tekanan diplomatik terhadap Myanmar serta membezakan bantuan kemanusiaan sementara daripada sebarang bentuk janji pemastautinan kekal.
“Belas ihsan terhadap ummah dan ketegasan mempertahankan kedaulatan negara bukanlah dua perkara yang bercanggah. Kedua-duanya memerlukan kepimpinan yang berhikmah dan berwibawa,” katanya.