BERJASA diwakili Hamdan Sharif yang merupakan Ketua Penerangan bagi parti itu mengecam kegagalan kerajaan dalam menangani isu pemandu mabuk. Parti itu juga menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani isu kematian akibat pemandu mabuk yang disifatkan semakin membimbangkan dan bukan lagi kes terpencil.
Menurut kenyataan itu, kelewatan tindakan kerajaan dilihat mencerminkan kegagalan dalam menangani krisis keselamatan jalan raya, ketika rakyat terus berdepan risiko di jalan raya.
“Ini bukan lagi insiden terpencil, tetapi trend berulang yang meragut nyawa rakyat,” menurut kenyataan tersebut.
Dakwa undang-undang ada, penguatkuasaan lemah
Kenyataan itu menyebut bahawa kerangka perundangan sedia ada sebenarnya mencukupi, namun pelaksanaannya didakwa lemah.
Antara undang-undang yang dirujuk termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya Seksyen 44, 45 dan 45A berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, serta Seksyen 304A Kanun Keseksaan Malaysia berkaitan menyebabkan kematian kerana kecuaian.
Menurut kenyataan itu, masalah utama adalah ketiadaan pindaan strategik serta penguatkuasaan agresif yang mampu memberi kesan cegah rintang (deterrence) kepada pesalah.
Cadang pindaan dan tindakan Dalam Tempoh 100 hari
Sehubungan itu, beberapa cadangan dikemukakan untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, termasuk menaikkan hukuman minimum penjara mandatori 10 hingga 15 tahun bagi kes kematian melibatkan pemandu mabuk.
Selain itu, had kandungan alkohol dalam darah (BAC) dicadangkan diperketatkan, di samping mewujudkan liabiliti automatik tanpa ruang manipulasi teknikal.
Cadangan lain termasuk operasi bersepadu 24 jam melibatkan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), penggantungan lesen serta-merta, serta senarai hitam bagi pesalah berulang.
Dari segi teknologi, kenyataan itu mencadangkan penggunaan peranti “alcohol interlock” bagi menghalang kenderaan dihidupkan sekiranya pemandu gagal ujian alkohol.
Tekanan sosial dan ketelusan Kerajaan
Kenyataan itu turut mencadangkan pendedahan awam mengenai pesalah berulang serta pewujudan dashboard nasional bagi data kes pemandu mabuk sebagai langkah ketelusan.
Menurutnya, langkah-langkah tersebut berpotensi mengurangkan kematian jalan raya dalam tempoh 12 hingga 24 bulan serta mengubah tingkah laku masyarakat.
“Ini bukan isu politik semata-mata, tetapi isu nyawa,” menurut kenyataan itu.
Ia menambah bahawa rakyat hanya mahukan jaminan keselamatan untuk pulang ke rumah tanpa risiko menjadi mangsa kecuaian pihak lain.
Kenyataan itu menegaskan kegagalan bertindak akan dilihat sebagai toleransi terhadap pesalah, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.