BERJASA sedia sumbang usaha kesatuan Melayu Islam, Bumiputera

melayu islam

BERJASA menyatakan kesediaannya untuk menyumbang dalam usaha memperkukuh kesatuan Melayu Islam dan Bumiputera melalui pelbagai platform kerjasama politik dan gerakan masyarakat.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata sebarang usaha yang bertujuan menyatukan umat perlu disokong tanpa mengira pendekatan atau platform yang digunakan.

Menurutnya, pendekatan yang diambil adalah untuk menyatukan agenda bersama, bukan menyeragamkan perbezaan pandangan.

“Kesatuan umat perlu didokong. Kita mengambil pendekatan untuk menyatukan, bukan menyeragamkan. Unity is not uniformity,” katanya.

Tekankan agenda bersama

Hamdan berkata terdapat lebih banyak perkara yang boleh dipersetujui dan diperjuangkan bersama berbanding perkara yang menjadi perbezaan antara kumpulan dalam kalangan Melayu Islam.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kesepakatan sukar dicapai sedangkan kumpulan lain mampu bersatu dalam memperjuangkan agenda dan kepentingan masing-masing.

Menurutnya, asas untuk mencapai kesepakatan sebenarnya sudah wujud melalui kerangka perundangan negara termasuk Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan tertentu kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Perkukuh struktur sedia ada

Hamdan berkata identiti Melayu juga tidak dapat dipisahkan daripada Islam, yang menurutnya telah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Melayu sejak sekian lama.

Beliau menambah bahawa masyarakat Melayu Islam sebagai teras negara turut mempunyai struktur dan ekosistem sedia ada termasuk di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong serta institusi raja-raja Melayu.

Menurutnya, struktur pentadbiran, kehakiman, sosial dan ekonomi yang wujud perlu diperkasakan bagi memastikan Malaysia terus menjadi negara yang kuat dan berdaulat.

“Semua ini perlu diperkasakan bagi mencapai misi membina Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul, kuat dan berdaulat,” katanya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

BERJASA sifatkan kegagalan lulus had tempoh PM sebagai ‘Kelemahan Kepimpinan Dan Reformasi’

Next Post
ramanan

BERJASA kecam kenyataan Ramanan, ‘Bukan provokasi kaum, ini pelanggaran undang-undang’

Related Posts