Laporan terkini menyebut Malaysia akan meneliti secara menyeluruh keanggotaan dalam Bank Pembangunan Baharu (NDB) yang merupakan institusi kewangan di bawah BRICS dengan mengambil kira pelbagai aspek.
Antara yang akan diteliti secara mendalam ialah komitmen yang diperlukan oleh negara anggota dan keberkesanan penyertaan dalam NDB.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan NDB yang dahulunya dikenali sebagai Bank Pembangunan BRICS di Rio De Janeiro, Brazil baru-baru ini.
Dalam lawatan ke Rio De Janeiro itu juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bertemu dengan Presiden NDB yang juga merupakan bekas Presiden Brazil iaitu Dilma Rousseff yang mana beliau secara terbuka berkata kepada Dilma bahawa Malaysia terbuka dengan NDB untuk meneroka kerjasama bersama dalam kerangka pembangunan mampan, pembiayaan infrastruktur dan pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan.
Penyertaan Malaysia di Rio De Janeiro ini adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS serta Pengerusi ASEAN 2025.
Malaysia telah secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun ini.
Apakah Itu BRICS Dan Tujuannya Ditubuhkan?
BRICS adalah sebuah kumpulan kerjasama antarabangsa yang terdiri daripada lima negara utama yang sedang pesat membangun iaitu Brazil, Rusia, India, Cina dan Afrika Selatan. Nama BRICS adalah akronim daripada huruf pertama nama negara-negara tersebut.
Pada mulanya, pada tahun 2006 kumpulan ini bermula sebagai BRIC tanpa penyertaan daripada Afrika Selatan yang ditubuhkan bertujuan sebagai platform kerjasama antara negara membangun yang berpotensi besar.
Kemudian pada tahun 2010 Afrika Selatan menyertai kumpulan ini secara rasmi menjadikannya ia dikenali sebagai BRICS.
Ahli ekonomi, Jim O’Neill mencetuskan idea penubuhan BRICS ini pada 2001 kerana berpandangan bahawa negara-negara ini bakal menjadi kuasa ekonomi dunia menjelang abad ke-21.
Hal ini boleh dikatakan ramalan itu agak tepat setelah melihat pertumbuhan ekonomi yang pesat pada China, Rusia dan India sekarang ini.
BRICS ditubuhkan bertujuan untuk menyaingi ekonomi negara Utara yang sinonim dikenali dengan status sebagai sebuah negara maju dan kaya.
BRICS dilihat menjadi menjadi inisiatif untuk menyatukan negara-negara membangun yang pesat membangun untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, politik dan kebudayaan.
Bukan itu sahaja BRICS juga ditubuhkan untuk meningkatkan pengaruh politik dan diplomatik negara anggota di pentas antarabangsa supaya suara negara membangun lebih didengari di pentas antarabangsa.
Dalam soal ekonomi pula, BRICS boleh dikatakan sebagai platform dalam memperjuangkan reformasi sistem kewangan global agar negara membangun mendapat lebih banyak peranan dan kuasa dalam institusi kewangan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia.
Hal ini boleh disimpulkan bahawa BRICS ditubuhkan sebagai satu bentuk perlawanan kepada kuasa Barat terutamanya Amerika Syarikat untuk melawan tata dunia yang unipolar menjadi multipolar.
Adakah Sesuai Untuk Malaysia Menyertai NDB Yang Dikelola Oleh BRICS?
Malaysia belum memuktamadkan lagi keputusan untuk menyertai NDB kerana masih meneliti syarat keanggotaan dan sedang meniliti aspek komitmen yang diperlukan oleh negara anggota ketika menyertai NDB.
Dalam sisi yang positif, negara anggota NDB akan mendapat dana pembiayaan tambahan bagi melaksanakan projek infrastruktur di negara masing-masing.
Mereka tidak perlu bergantung kepada badan kewangan lain seperti Bank Dunia dan IMF kerana memiliki pembiayaan tambahan daripada NDB.
Walaubagaimanapun, kerajaan diharapkan dapat menilai kembali komitmen awal mereka untuk Malaysia menyertai NDB.
Sekiranya Malaysia ingin menyertai NDB, kerajaan perlu membuat sumbangan modal kepada bank tersebut sama seperti institusi kewangan lain seperti IMF.
Seperti IMF yang disertai oleh Malaysia pada 1958, Malaysia sebagai negara anggota perlu membuat sumbangan modal (quota) berdasarkan saiz ekonomi dan kedudukan kewangan negara tersebut.
Untk tahun 2025, quota Malaysia dalam IMF adalah sebanyak 3,633.8 juta SDR (Special Drawing Rights) bersamaan kira-kira RM23 bilion pada kadar tukaran semasa. Quota ini berfungsi sebagai asas hak mengundi dan akses kepada pinjaman IMF sekiranya diperlukan.
Dalam penelitian untuk menyertai NDB atau tidak, kerajaan perlu menganalisis kos dan faedah yang komprehensif untuk menilai keperluan sumbangan modal, tahap komitmen kewangan serta kuasa mengundi yang bakal diperoleh Malaysia.
Malaysia juga perlu mengambil kira dasar had hutang negara (maksimum 65% KDNK) sebelum membuat keputusan menyertai NDB.
Berdasarkan data terkini, kadar hutang kerajaan Malaysia dianggarkan sekitar 64% hingga 70% daripada Keluaran Dalam Negara Kasarr (KDNK) pada tahun 2024 dan 2025.
Walaupun kadar ini agak tinggi berbanding standard konservatif yang biasanya di bawah 60%, ia masih dianggap boleh diurus dan berada di dalam had yang dibenarkan oleh Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam 2023 yang mensasarkan pengurangan hutang kepada 60% dalam jangka sederhana.
Kerajaan perlu memastikan bahawa sumbangan model kepada NDB tidak melebihi kapasiti fiskal negara dan tidak menjejaskan keutamaan pembiayaan domestik serta pembangunan ekonomi jangka panjang. ‘
Dengan pengenalan pelbagai cukai oleh kerajaan kepada rakyat, semestinya kita tidak mahu terjadi sentimen bahawa pengenalan cukai ini yang asalnya untuk manfaat rakyat Malaysia bertukar kepada pembayaran hutang untuk institusi kewangan dunia.