Setelah pengenalan kepada pelaksanaan cukai SST yang akan dibuat pada 1 Julai 2025, kerajaan kini dalam proses untuk melaksanakan cukai karbon di Malaysia menjelang 2026.
Pelaksanaan cukai karbon ini telah pun dibentangkan oleh kerajaan ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada akhir tahun lalu.
Langkah ini diambil bagi menggalakkan lagi penggunaan teknologi yang lebih bersih dan mampan manakala hasil cukai karbon ini akan digunakan untuk membiayai program teknologi hijau dan penyelidikan.
Keputusan kerajaan melaksanakan cukai karbion ini dikatakan bukan sahaja bertujuan menangani pelepasan nasional tetapi untuk melindungi daya saing industri tempatan pasaran antarabangsa.
Kesatuan Eropah (EU) mula melaksanakan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) pada Oktober 2023, yang mana produk seperti besi, keluli dan aluminium dari negara luar EU tidak mempunyai mekanisme pengurangan pelepasan karbon, bakal dikenakan tarif tambahan.
CBAM bertujuan mengurangkan kebocoran karbon dengan memastikan produk memasuki EU dari negara seperti Malaysia, mematuhi standard pelepasan karbon sama di EU.
Tanpa cukai karbon, produk dari Malaysia mungkin terdedah kepada cukai tinggi apabila memasuki pasaran Eropah, menjadikannya kurang kompetitif dan menjejaskan industri eksport negara.
Perkara ini dilihat baik untuk kelangsungan produk Malaysia untuk menembusi pasaran di luar negara terutamanya di negara-negara Eropah namun bagaimana pula dengan nasib rakyat tempatan?
Apakah Itu Cukai Karbon?
Cukai karbon merupakan cukai yang dikenakan ke atas pelepasan karbon dioksida atau kandungan karbon dalam bahan api fosil seperti arang batu, petrol, diesel dan gas asli.
Matlamat utama pengenalan cukai karbon ini dibuat bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil, menggalakkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin, menjadikan pencemar membayar kos sebenar kerosakan alam sekitar dan menggalakkan inovasi teknologi hijau.
Persoalannya, bagaimana cukai ini dilaksanakan dan berfungsi?
Sebagai contoh, jika sesebuah kilang membakar bahan api fosil untuk menghasilkan tenaga, ia akan melepaskan karbon dioksida ke atmosfera. Maka cukai karbon akan dikenakan berdasarkan jumlah pelepasan karbon yang berlaku.
Semakin tinggi pelepasan, semakin tinggi cukai dan kos ini kemudian akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga produk atau perkhidmatan.
Antara contoh produk yang akan dikenakan cukai karbon ialah bahan api seperti petrol, diesel, arang batu, gas asli dan minyak pemanas.
Bagi kategori produk industri yang menggunakan banyak tenaga seperti simen, keluli, kaca dan aluminium juga dikenakan cukai karbon kerana industri-industri ini menggunakan relau dan mesin yang memerlukan tenaga tinggi selalunya daripada bahan api fosil.
Dalam konteks pelaksanaan cukai karbon di Malaysia, kerajaan akan memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi, keluli dan tenaga menjelang 2026.
Adakah Rakyat Akan Terkesan Dengan Cukai Karbon Di Malaysia?
Industri besi, keluli dan tenaga dikenakan cukai karbon kerana proses pengeluarannya memerlukan pembakaran bahan api fosil pada suhu tinggi dan menjadi penyumbang utama kepada pelepasan karbon dioksida.
Pengenalan cukai karbon kepada sektor tenaga akan menyebabkan kenaikan harga elektrik kerana loji tenaga di Malaysia masih banyak bergantung kepada arang batu dan gas asli.
Cukai karbon akan menaikkan kos operasi syarikat tenaga dan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna.
Maka bil ekektrik isi rumah boleh meningkat terutamanya bagi penggunaan tenaga tinggi seperti penghawa dingin dan pemanas air.
Harga rumah, produk binaan, perabot dan kenderaan boleh meningkat kerana keluli dan besi yang digunakan untuk membina bangunan dan rumah, infrastruktur seperti jalan, jambatan dan paip air serta perabot logam dan mesin juga dikenakan cukai karbon.
Terlalu banyak cukai dikenakan oleh kerajaan sedangkan sebelum ini kerajaan yang mencanang sudah banyak pelaburan sudah dibawa masuk oleh mereka.
Adakah kekayaan ekonomi negara ingin dijana oleh cukai ataupun pelaburan asing?