Nga Kor Ming menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu jual arak di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Beliau yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata ketetapan itu adalah bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Tambah beliau, ia tidak sepatutnya menjadi isu sedangkan beliau sudah pun tahu bahawa pengambilan arak membawa kepada kebinasaan termasuk meragut nyawa insan yang tidak bersalah di atas jalan raya.
Bukan itu sahaja malahan beliau mengambil mudah dengan mengatakan terpulang kepada sesiapa yang mahu beli dan tiada larangan untuk membelinya kerana itu adalah hak masing-masing.
Beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian merujuk kepada tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mempertimbangkan untuk melaksanakan dasar larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Sebelum ini penguatkuasaan larangan ini hanya terpakai di kawasan Gugusan Manjoi sejak tahun 2021 berikutan bantahan yang kuat daripada penduduk yang beragama Islam di kawasan itu.
MBI juga memaklumkan ada menerima bantahan daripada penduduk kawasan yang bermajoriti Melayu-Islam maka tuntutan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam akan segera dipertimbangkan oleh MBI.
Jual Arak Di Kawasan Majoriti Melayu-Islam Adalah Satu Bentuk Penghinaan Kepada Islam
Kenyataan Nga Kor MIng tersebut seolah-olah mahu mencabar hak orang Islam di Malaysia yang jelas konsisten menolak penjualan arak di premis kedai runcit mahupun pasar raya.
Tidak pasti apa yang berada di fikiran Nga Kor Ming sehingga beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian di hadapan pihak media.
Beliau mengatakan penjualan arak secara terbuka adalah penting untuk keharmonian kaum sedangkan kenyataan beliau tersebut sudah pun menyentuh sensitiviti orang Islam.
Kononnya beliau mencontohi keperibadian Khalifah Umar Al Khattab tetapi secara terang-terangan menyokong penjualan arak di kawasan orang Islam.
Beliau sebagai seorang yang bertaraf menteri perlu sedia maklum bahawa penjualan minuman keras secara terbuka memberi kesan kepada berlakunya kes kemalangan disebabkan pemandu mabuk.
Minuman keras di Malaysia juga boleh dibeli 24 jam seperti di kedai serbaneka malahan ia tidak semestinya diminum di pusat hiburan atau kelab malam tetapi mungkin di tempat riadah pada waktu malam.
Undang-undang Malaysia tentang penjualan arak masih lemah dan sepatutnya ini yang difokuskan oleh Nga Kor Ming dan rakan-rakannya di dalam kabinet kerajaan untuk mengatasi masalah pemandu mabuk di atas jalan raya.