Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim menyeru agar kuasa politik Melayu diperkukuhkan dengan sekuatnya sebagai satu bentuk penterjamahan hak Melayu dan Bumiputera terus terjaga.
Kenyataan yang dilontarkan oleh beliau ini timbul sebagai respon kepada gesaan seorang ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong yang mahukan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat bagi mengatasi masalah ketidakseimbangan jumlah pengundi.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat sekitar Februari lalu dan mengikut Perlembagaan, persempadanan semula boleh dikaji setiap lapan tahun maka proses berkenaan boleh dilakukan semula tahun depan.
Zamani Ibrahim melihat tindakan beliau tersebut yang mencadangkan untuk kerajaan menerima kerjasama dengan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) seperti BERSIH dan CSO lain dalam memberikan pandangan untuk persempadanan semula ini sebagai satu tindakan yang agak beria-ria.
Malahan kertas cadangan untuk melaksanakan langkah itu sudah pun siap dihasilkan dan hanya tinggal untuk dibentangkan di Parlimen sahaja.
Terjemahkan Hak Keistimewaan Bumiputera Dalam Bentuk Kuasa Politik Melayu
Zamani Ibrahim berpendapat orang Melayu kini termasuk ahli politik berbangsa Melayu itu sendiri hanya menghayati slogan keistimewaan Bumiputera dan Melayu dengan penghayatan yang begitu kosong.
Mereka hanya melihat hak keistimewaan ini dalam bentuk pemberiaan biasiswa pendidikan, penempatan di institusi sekolah berasrama penuh – MRSM dan bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan daripada badan ekonomi milik Bumiputera sahaja.
Sedangkan beliau berpendapat hak keistimewaan ini boleh diterjemahkan dalam kuasa politik yang mana ia membawa kebaikan yang lebih besar lagi.
Ahli politik Melayu yang berada di dalam kerajaan perlu membalas balik cadangan Khoo Poay Thiong itu dengan bersetuju dengan saranan memperluaskan sempadan kawasan pilihan raya tetapi ia perlu dilakukan secara bersyarat.
Kerusi Parlimen di Malaysia berjumlah sebanyak 222 kerusi maka persempadanan semula kawasan pilihan raya yang ingin dibuat itu mesti memperuntukkan 70% kepada orang Melayu dan Bumiputera manakala baki 30% kepada bukan Bumiputera.
Peruntukan 70% ini termasuk kepada kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai kawasan rizab pengundi terbesar di Malaysia.
Tonjolkan Orang Melayu Dan Bumiputera Sebagai Tuan Tanah
Beliau berpendapat cara sebegini yang baru menggambarkan bahawa hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera kerana kekuasaan politik secara total akan membolehkan segala perancangan untuk memajukan orang Melayu dan Bumiputera ke peringkat lebih jauh lagi.
Bukan itu sahaja malahan hal ini juga akan memperlihatkan orang Melayu dan Bumiputera sebagai tuan tanah yang sebenar di Malaysia ini.
Namun demikian, beliau menegaskan pemberian peruntukkan sebanyak 70% kawasan pilihan raya kepada orang Melayu tidak berguna jika orang Melayu lebih memilih untuk pulang mengundi di kawasan kampung masing-masing.
Sebaiknya mereka ini kekal sahaja mengundi di kawasan mereka bermastautin iaitu di bandar-bandar besar bagi memastikan kawasan pilihan raya di bandar-bandar ini dapat dikuasai oleh orang Melayu.
Sebenarnya begitu ramai orang Melayu yang merantau di bandar-bandar besar untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik tetapi lebih memilih pulang ke Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis dan lain-lain untuk mengundi.
Jika mereka kekal mengundi di kawasan mereka tinggal sekarang, tidak mustahil negeri-negeri yang mereka tinggal itu akan dikuasai oleh parti Melayu ditambah pula dengan kelebihan 70% kawasan pilihan raya untuk orang Melayu selepas persempadanan semula dibuat.