Isu keciciran pembelajaran semakin kritikal namun apa yang dibentangkan di parlimen hanyalah angka keciciran pendidikan. Angka keciciran pendidikan yang dibentangkan di parlimen berlaku menurun iaitu hanya 0.06 peratus di sekolah rendah dan 0.64 peratus di sekolah menengah.
Menurut Dr Anuar Ahmad yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), menegaskan isu yang perlu diberi perhatian di parlimen adalah isu keciciran pembelajaran yang semakin kritikal kerana sehingga kini masih tiada penyelesaian yang tuntas daripada kerajaan.
Anuar juga menegaskan bahawa isu keciciran persekolahan sudah lama terkawal, sebagaimana yang dilaporkan oleh Bank Dunia sejak 2013, di mana kadar enrolmen murid di Malaysia adalah cemerlang dan mencecah lebih 90 peratus pada tahun 2012, menjadikannya di atas purata negara di dunia manakala isu keciciran pembelajaran inilah yang semakin kritikal sehingga sekarang.
Adakah kerajaan bersifat PASIF Dalam Isu Keciciran Pembelajaran?
Pada tahun 2022, MASA-UKM telah menerbitkan laporan ringkasan dasar “Pelan Pendidikan untuk Menangani Keciciran Murid di Sekolah Rendah dan Menengah Malaysia”. Kajian tersebut mendapati, majoriti murid tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), manakala keciciran persekolahan adalah sebanyak 10 sehingga 20 peratus murid.
Hal ini menunjukkan, isu yang kini kritikal dan perlu menjadi perhatian adalah keciciran pembelajaran, yang meliputi keciciran 3M, ponteng sekolah, dan keciciran persijilan SPM. Namun, ahli parlimen sering sahaja membincangkan isu yang tidak menunjukkan situasi sebenar pendidikan negara.
Menurut Anuar, Ahli parlimen sepatutnya bertanyakan soalan yang lebih penting yang menggambarkan keadaan semasa keciciran pembelajaran. Sebagai contoh, jumlah murid yang tidak boleh membaca, menulis dan mengira, bilangan murid ponteng sekolah dan tidak memperoleh sijil SPM dan keberkesanan usaha yang telah dilakukan oleh KPM untuk mengekang keciciran pembelajaran serta data dan bukti kejayaan KPM menangani masalah ini.
Desakan Ke Arah Penyelesaian yang Tuntas
Dr Fadilah Ashari yang merupakan Ketua Wanita Berjasa berpandangan penyelesaian yang tuntas oleh kerajaan perlu dilaksanakan terhadap sistem pendidikan bagi menangani isu ini. Antaranya dengan memperkukuhkan kolaborasi antara KPM, KPWKM, komuniti dan pihak berkaitan bagi menangani masalah ini secara holistik.
“Kerajaan perlu membuat penelitian semula dan secara mendasar apakah matlamat sistem pendidikan dan modal insan yang ingin dibina, penyesuaian kurikulum yang berfokus kemahiran dan pengaktifan jawatankuasa khas di peringkat sekolah seperti pembantu guru, serta pendefinisian pendidikan bagi menangani isu ini”, tambahnya lagi.
Hal ini tidak boleh diambil ringan kerana wujud kepentingan bagi melahirkan insan yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri seterusnya memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.