GEORGE TOWN – BERJASA Pulau Pinang menzahirkan kekesalan yang mendalam dan marah dengan tindakan penganjur George Town Festival 2024 (GTF 2024) yang hanya menonjolkan budaya Cina dan India di dalam video promosi acara tersebut. Pihak penganjur GTF 2024 sepatutnya sudah jelas bahawa Pulau Pinang adalah milik asal orang Melayu termasuk George Town itu sendiri.
Pengerusi Perhubungan Negeri BERJASA Pulau Pinang, Budiyanto Unggun berkata budaya Melayu sudah pun wujud di sini seiring dengan kewujudan bangsa Melayu sebelum hadirnya Francis Light daripada British ke Pulau Pinang.
Beliau menegaskan keberadaan bangsa Melayu di Pulau Pinang jauh lebih lama berbanding bangsa Cina dan India.
Oleh hal yang demikian, beliau mewakili BERJASA Pulau Pinang memohon semua pihak fahami dan hormati sejarah asal Pulau Pinang. Usah uji kesabaran bangsa Melayu dengan melakukan perkara seperti ini lagi.
“Ingat, identiti nasional Malaysia dibangunkan bertunjangkan bangsa Melayu dan adat ketimuran. Ini telah diterima oleh bangsa Cina dan India dalam kontrak sosial”.
“Keharmonian hidup kita saat ini adalah kerana budaya orang Melayu yang lembut dan sopan menerima kehadiran bangsa Cina dan India di sini. Peliharalah keharmonian dan kemakmuran ini”, ujar beliau.
Dalam masa yang sama juga, beliau menggesa pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur kerana ini adalah satu kesalahan berat yang melibatkan ‘3R’ (Race, Religion, Royal).
Terdahulu, sebuah klip video mempromosikan penganjuran sebuah festival seni tahunan di Pulau Pinang mencetuskan perdebatan mengenai penampilan budaya masyarakat peribumi Melayu, di sebalik kritikan pedas seorang sejarawan yang menuduh penganjur dan pihak berkuasa terlibat dalam “penghapusan” warisan kira-kira separuh daripada penduduk negeri itu.
Video berdurasi hampir dua minit untuk mempromosikan George Town Festival 2024 itu antaranya menampilkan opera Cina dan persembahan muzik klasik India, tetapi unsur warisan Melayu-Islam yang mencorakkan sejarah Pulau Pinang sejak berkurun lamanya langsung tidak dimuatkan.