Menjelang tahun 2040, Malaysia memanfaatkan teknologi terkini dengan pemusatan dan pemanfaatan data raya dalam penggubalan dasar negara. Data raya dikaji dan dianalisa dengan teliti agar setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan data.
Negara juga mampu membaca perkembangan dan pergerakan dalam pasaran bagi membolehkannya merangka strategi yang ampuh dalam persaingan untuk kekal maju dan mandiri.
Hasil daripada pemusatan dan penggunaan data yang baik ini, semua sektor ekonomi negara termasuk pembuatan, perkhidmatan, pertanian, dan sebagainya bakal mengaplikasikan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing di pentas global.
Kita melihat simpanan data raya (data storage) bukan dimiliki oleh syarikat milikan tempatan. Hal ini membuatkan banyak hal-hal sulit dan peribadi dapat diakses oleh pihak yang mempunyai kepentingan dan tidak bertanggungjawab.
Oleh itu, dua puluh tahun akan datang kerajaan Malaysia sudah mampu membangunkan hub simpanan data atau data raya sendiri dan tidak bergantung kepada negara luar lagi.
Selain itu, Dasar Teknologi Kebangsaan tidak hanya tertumpu kepada pulangan materialistik semata-mata, tetapi juga berteraskan integriti dan kesedaran tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Hal ini melihat kepada situasi pada hari ini dengan adanya pembangunan yang melulu dan melampau tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar.
Kita mahu Malaysia Unggul yang bakal dibina oleh tenaga kerja tempatan ini memahami kepentingan pengimbangan teknologi dan alam sekitar sehingga kedua-duanya saling melengkapi, menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia.
Afif Badh
Naib Presiden BERJASA