Cukai GST ataupun nama penuhnya Goods Services and Tax dahulunya pernah diperkenalkan di Malaysia sewaktu di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak kemudiannya dihapuskan setelah berlakunya pertukaran kerajaan pada tahun 2018.
Namun demikian, beberapa cadangan dan desakan untuk cukai GST diperkenalkan semula kembali timbul kerana melihat berlakunya kekurangan jumlah kutipan cukai di Malaysia.
Hal ini dapat dibuktikan melalui kenyataan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan semula cukai GST.
OECD berpendapat Malaysia perlu meningkatkan hasil memandangkan penerimaan cukai hanya menyumbang 12 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Mereka juga tegaskan Malaysia perlu menjadikan GST yang merupakan cukai nilai tambah sebagai tonggak utama sistem cukai di Malaysia.
Sekarang timbul persoalan adakah sudah tiba masa yang sesuai untuk Malaysia memperkenalkan semula cukai GST memandangkan penstrukturan ekonomi sedang berlaku di bawah pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terlebih dahulu elok kita mengetahui dahulu apakah kelebihan dan kelemahan cukai GST ini apabila dilaksanakan di Malaysia.
Kelebihan Cukai GST
Cukai GST mempunyai kelebihannya yang tersendiri iaitu ia direka untuk menjadi sistem cukai yang lebih efisien berbanding dengan cukai jualan konvensional kerana cukai ini dikenakan pada setiap peringkat rantaian pengeluaran dan pengedaran serta mengurangkan kemungkinan pengelakan cukai.
Pelaksanaan cukai GST cukai memberikan kelebihan kepada kerajaan apabila setiap transaksi didokumentasikan kerana cukai dibayar pada setiap peringkat.
Hal ini dapat meningkatkan ketelusan dan menjadikan sistem ini lebih mudah untuk diaudit oleh pihak berkuasa.
Oleh kerana ia dikenakan kepada setiap peringkat maka agak sukar bagi mana-mana entiti perniagaan untuk mengelak daripada membayar cukai.
Dalam laporan Awani yang bertarikh 1 Mac 2024, Perdana Menteri melaporkan bilangan syarikat berdaftar di negara ini yang membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih berada tahap yang rendah.
Beliau juga menyatakan kekesalan kerana hanya 435,000 daripada 1.5 juta syarikat yang berdaftar direkodkan membayar hasil cukai mereka kepada agensi berkenaan.
Maka pelaksanaannya ini diyakini mampu menyelesaikan masalah pengelakan cukai yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu juga, GST meliputi kebanyakan barangan dan perkhidmatan, yang bermaksud bahawa lebih banyak pihak menyumbang kepada hasil negara.
Hal ini boleh mengurangkan kebergantungan kepada cukai pendapatan dan memperuntukkan beban cukai secara lebih adil di kalangan semua pengguna.
Cukai Ini Tetap Ada Kelemahannya
Cukai GST juga tetap ada kelemahannya kerana cukai ini didapati boleh meningkatkan kos hidup terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah kerana ia bersifat regresif.
Hal ini bermakna semua pihak akan membayar cukai pada kadar yang sama tanpa mengira pendapatan mereka.
Pelaksanaan GST memerlukan perubahan besar dalam sistem perakaunan dan pematuhan cukai bagi perniagaan terutamanya kos untuk menyesuaikan diri dengan sistem baru ini boleh menjadi tinggi, terutama bagi perniagaan kecil dan sederhana.
Bukan itu sahaja malahan kerajaan mungkin berdepan dengan cabaran untuk memulihkan imej cukai ini kerana sebelum ini GST sering dikritik sebagai punca kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Pelaksanaannya semula boleh menjadi satu langkah yang kurang popular di mata rakyat dan ia boleh menjadi isu politik yang sensitif jika tidak disertai dengan kawalan harga yang ketat dan pengecualian untuk barangan keperluan asas.
Oleh hal yang demikian, keputusan untuk memperkenalkan semula GST memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap keadaan ekonomi semasa, keperluan fiskal kerajaan, dan kesan terhadap kos hidup rakyat.
Sekiranya kerajaan dapat memastikan pelaksanaan GST yang lebih cekap dan adil, termasuk pengecualian bagi barangan dan perkhidmatan asas untuk melindungi golongan berpendapatan rendah, ia boleh menjadi alat yang berkesan untuk meningkatkan hasil negara dan menstabilkan ekonomi.
Namun, ia memerlukan pendekatan yang telus, komunikasi yang jelas kepada rakyat, serta mekanisme sokongan yang kukuh untuk meminimumkan kesan negatif kepada kos hidup dan ekonomi keseluruhan.