Malaysia pada minggu yang lalu telah mencatatkan satu pelaburan besar yang baru apabila Oracle Griup, syarikat perisian milik Larry Ellison melabur lebih US$6.6 bilion di Malaysia.
Pelaburan oleh Oracle Group di Malaysia ini akan berfokuskan kepada “artificial intelligence (AI)” dan “cloud services” memandangkan permintaan terhadap dua sektor tersebut makin rancak di rantau Asia Tenggara.
Ramai pihak sudah mengenali Oracle Group atau nama lamanya Software Development merupakan sebuah syarikat multinasional teknologi dan perisian yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dengan produk utamanya iaitu Oracle Database dan Oracle Cloud Infrastructure (OCI).
Namun begitu, maklumat mengenai Larry Ellison masih ramai yang tidak tahu dan carian yang dibuat oleh kami mendapati beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Zionisme.
Larry Ellison Seorang Penyokong Kuat Israel
Artikel daripada The Jerusalem Post melaporkan bahawa Larry Ellison adalah seorang Yahudi dan merupakan pendokong kuat kepada penubuhan negara Israel di atas tanah rakyat Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutif Oracle Group, Safra A. Catz pernah mengatakan di dalam satu temu bual bahawa beliau dan Larry amat komited dengan Israel.
Hal ini dapat dibuktikan dengan pembinaan pusat data bawah tanah di Jerusalem pada tahun 2021 dan kemudian Oracle telah membuka pusat data bawah tanah yang dengan sembilan tingkat di hab teknologi Har Hotzim, Jerusalem.
Pelaburan yang dibawa oleh Oracle ke Israel untuk membuka pusat data kedua ini adalah sebanyak US$319 juta dan ini mengiyakan kenyataan Catz yang mengatakan “because we love Israel and we know the country needs it“.
Menyumbang US$26 Juta Kepada Tentera Israel
Larry Ellison juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan ini membawa kepada sokongan tanpa berbelah bahagi beliau kepada segala keputusan yang dibuat oleh Netanyahu termasuk dalam soal penindasan terhadap rakyat Palestin.
Hubungan yang rapat ini membawa kepada sifat “dermawan” beliau dengan menyumbang lebih US$26 juta kepada tentera Israel dan projek penempatan haram di Palestin.
Bukan itu sahaja malahan sewaktu Netanyahu dibicarakan atas kesalahan penyelewengan wang dan salah guna kuasa, Larry menggunakan pengaruh beliau untuk menggugurkan peguam pendakwa raya bagi menyelamatkan Netanyahu daripada kes tersebut.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa Oracle Group dan pemiliknya iaitu Larry Ellison jelas mempunyai hubungan yang rapat dengan negara Zionis itu.
Mereka bukan sahaja melabur di sana malahan menyokong perluasan kuasa secara haram oleh Israel dengan menyumbang dana.
Ironinya, Malaysia boleh berbangga dengan pelaburan yang dibawa oleh Oracle ke sini dan melihat ia sebagai satu kejayaan di kala rakyat Palestin sudah setahun dibantai oleh rejim Zionis itu.