KUALA LUMPUR, 22 Sept — Presiden BERJASA, Ustaz Hj Zamani Ibrahim, mempersoalkan rayuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat memberi peluang kepada kerajaan, dengan menegaskan bahawa rakyat cukup matang untuk menilai sendiri prestasi pentadbiran.
“Saya yakin rakyat cukup matang untuk membuat keputusan. Rakyat mampu membezakan antara prestasi dengan persepsi,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kalau memang berprestasi, apa perlunya merayu-rayu? Kecuali kalau sebaliknya,” tambahnya.
Kenyataan itu merujuk kepada rayuan Anwar ketika tampil dalam podcast Sembang Ohh Yeahh! pada 16 September lalu, apabila beliau meminta rakyat memberi ruang kepada kerajaan untuk meneruskan usaha pembaharuan.
“Berilah peluang kepada kita untuk menyelamatkan negara kita,” kata Anwar dalam program itu.
Perdana Menteri turut mengakui bahawa kepimpinannya mungkin tidak memuaskan semua pihak. “Saya sudah melakukan yang sebaik mungkin. Saya minta maaf kalau ia tidak memenuhi selera orang,” katanya.
Rayuan itu bukan kali pertama dibuat. Sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Julai lalu, Anwar merayu pengundi negeri itu memberi peluang kepada Pakatan Harapan. Menjelang PRN Negeri Sembilan pula, beliau sekali lagi menyeru pengundi memberi peluang kepada gabungan itu untuk meneruskan agenda kestabilan.
Prestasi, bukan persepsi
Bagi BERJASA, keyakinan rakyat terhadap kerajaan sepatutnya dibina melalui hasil yang dapat dirasai, bukan melalui rayuan berulang. Parti itu berpandangan politik yang bergantung kepada sentimen dan persepsi adalah antara kelemahan utama landskap politik negara hari ini.
Dalam dokumen halatuju Impian Nasional BERJASA 2040 (BINA2040), teras Politik & Kepimpinan menggariskan matlamat pengamalan politik matang bersendikan wibawa pemimpin. Kepimpinan itu mesti terbukti efektif menggubal undang-undang, berkhidmat kepada rakyat dan memacu kemajuan negara.
Antara cadangan yang digariskan termasuk memperkenalkan Matriks Kelayakan Kabinet, mewajibkan pengisytiharan harta Ahli Parlimen dan ADUN, serta memperkasakan tadbir urus kewangan negara. BERJASA turut menyasarkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 80 menjelang 2040 sebagai ukuran objektif kepada integriti kepimpinan.
BERJASA menyeru rakyat menilai kerajaan berdasarkan rekod dan data, bukan rayuan, serta bersama-sama membina kepimpinan baharu yang berwibawa ke arah Malaysia yang unggul dan bermaruah menjelang 2040.
Bersama Pimpin Negara.