KUALA LUMPUR, 22 Mei — Sayap wanita parti BERJASA menggesa kerajaan memperketat undang-undang berkaitan pengedaran vape mengandungi bahan terlarang susulan rampasan cecair vape disyaki mengandungi furanyl fentanyl oleh pihak polis baru-baru ini.
Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah Ashari berkata, kes tersebut membuktikan ancaman dadah sintetik kini semakin serius apabila mula disebarkan melalui medium vape yang lebih mudah diterima terutama dalam kalangan remaja.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia atas kejayaan operasi membanteras pengedaran bahan berbahaya itu.
“Wanita BERJASA mengucapkan tahniah kepada pihak polis atas tindakan pantas dan berani membanteras rangkaian pengedaran cecair vape disyaki mengandungi furanyl fentanyl.
“Tindakan seperti ini amat penting bagi melindungi masyarakat khususnya generasi muda daripada ancaman dadah sintetik yang semakin membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Furanyl fentanyl ancaman maut
Menurut Dr Fadilah, furanyl fentanyl merupakan bahan opioid sintetik yang sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian walaupun dalam jumlah yang amat kecil.
Katanya, antara bahaya utama bahan itu ialah kekuatannya yang luar biasa apabila dos sekitar 2 hingga 3 miligram sahaja sudah mampu menyebabkan kematian orang dewasa.
“Jumlah tersebut dianggarkan bersamaan hanya lima hingga tujuh butir garam.
“Apabila disedut melalui vape, bahan ini memasuki aliran darah dengan cepat dan boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dalam beberapa minit,” katanya.
Beliau berkata, situasi menjadi lebih berbahaya kerana cecair vape haram tidak mempunyai kawalan dos yang konsisten.
“Berbeza dengan penggunaan fentanyl dalam perubatan yang dikawal secara ketat, cecair vape haram mempunyai kandungan tidak menentu. Satu sedutan pun boleh membawa maut,” katanya.
Campuran dadah lain tingkat risiko
Dalam pada itu, Dr Fadilah berkata, banyak cecair vape haram dipercayai dicampur dengan bahan lain seperti ketamin, methamphetamine dan xylazine yang meningkatkan risiko komplikasi kesihatan.
Menurut beliau, penggunaan naloxone juga mungkin tidak mencukupi sekiranya mangsa terdedah kepada campuran pelbagai jenis dadah.
“Ini menjadikan rawatan kecemasan lebih sukar kerana naloxone hanya berkesan terhadap komponen opioid,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa risiko ketagihan terhadap fentanyl sangat tinggi dan boleh berlaku dalam tempoh singkat.
Remaja antara golongan paling terdedah
Dr Fadilah berkata, golongan remaja kini menjadi sasaran utama kerana budaya vaping semakin dinormalisasikan dalam masyarakat.
“Ramai menganggap vaping lebih selamat dan lebih moden berbanding merokok atau penyalahgunaan dadah secara tradisional.
“Perisa dalam vape pula menyembunyikan kehadiran bahan berbahaya lain sehingga pengguna tidak menyedari apa yang disedut,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan otak remaja yang masih belum matang menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada ketagihan serta mengakibatkan tindakan impulsif.
Katanya lagi, pengaruh rakan sebaya dan kandungan media sosial yang menormalisasikan vape turut meningkatkan wujudnya risiko percubaan dalam kalangan anak muda.
Tiada cara selamat kesan vape tercemar
Dr Fadilah menegaskan tiada cara selamat mengesan fentanyl atau bahan terlarang dalam cecair vape.
“Satu-satunya cara mengelakkan risiko ialah dengan tidak menggunakan produk vape yang tidak dikawal,” katanya.
Beliau menyeru ibu bapa memperkukuh komunikasi dengan anak-anak mengenai bahaya vape dan dadah sintetik.
“Ibu bapa perlu memberi penerangan tentang risiko sebenar, bukan sekadar melarang. Mereka juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku dan fizikal anak-anak,” katanya.
Wanita BERJASA gesa operasi dipergiat
Dr Fadilah menggesa Ops Vape 1.0 diterus dan diperkasa bagi membanteras vape haram.
Beliau berkata, tindakan lebih agresif perlu difokuskan kepada pengedar, sindiket dan kilang pemprosesan yang menghasilkan cecair vape mengandungi bahan terkawal.
“Undang-undang dan hukuman terhadap pengedaran vape bercampur dadah perlu diperketat supaya menjadi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan juga perlu melihat isu ini sebagai ancaman kesihatan awam dan keselamatan negara yang memerlukan tindakan menyeluruh,” katanya.